Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

32 Pegawai JPJ Antara 44 Individu Ditahan, Terlibat Sindiket Rasuah RM1.64 Juta

Loading...
Lagi penguat kuasa JPJ direman
32 pegawai JPJ antara 44 individu ditahan, terlibat sindiket rasuah RM1.64 juta

Astro Awani
16/3/2021

KUALA LUMPUR: Sejumlah 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan lebih, yang melibatkan jumlah rasuah sebanyak RM1.64 juta.

Difahamkan, pegawai JPJ yang ditahan itu melibatkan pelbagai pangkat termasuk pegawai kanan sementara orang awam pula merupakan proksi sindiket itu.

Antara lain yang ditahan adalah masing-masing seorang anggota dan bekas anggota trafik serta selebihnya orang awam.

Kesemua mereka ditahan berasingan sejak semalam menerusi Op Sukat di lima negeri dengan lapan pegawai JPJ dan masing-masing seorang anggota trafik, bekas anggota trafik dan orang awam ditahan di Kedah, Pulau Pinang (sembilan pegawai JPJ), Perak (lapan pegawai JPJ dan empat orang awam), Perlis (satu orang awam) dan Melaka (tujuh pegawai JPJ dan empat orang awam).

Menurut sumber, antara modus operandi mereka adalah, pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

"Sebaliknya, sebagai balasan menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

"Mereka dipercayai menerima 'upahan' antara RM150 dan RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.

"Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sejak 2019 hingga 2020," ujar sumber tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ, khususnya Ketua Pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.

Katanya, ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.

"Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin," ujarnya.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Loading...
Back To Top