Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Ini Lima Tumpuan Sidang Media, Dua PKPD Ditamatkan - Ismail Sabri

Loading...

Dua PKPD ditamatkan, ini lima tumpuan sidang media Ismail Sabri

Astro Awani
23/2/2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak pada 24 Februari 2021 seperti yang dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Felda Triang 3, Bera, Pahang juga ditamatkan esok, lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan iaitu pada 3 Mac 2021.

Berikut adalah lima fokus utama sidang media Ismail Sabri pada Selasa:

1) Penamatan PKPD Kampung Teluk, Setiawan, Perak dan Felda Triang 3, Bera, Pahang.

2) PDRM menahan 321 individu atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, 286 telah dikompaun, 29 individu direman dan enam dijamin.

3) Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (75), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (65), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (55), tiada penjarakan fizikal (49).

4) Op Benteng telah berjaya menahan 17 orang PATI, empat tekong serta merampas 11 buah kenderaan darat.

5) 15,399 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 97 didapati positif.

Larangan rentas daerah rujuk sempadan pentadbiran pegawai daerah, bukan PDRM - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Larangan rentas sempadan dalam semua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merujuk kepada daerah yang diketuai pegawai daerah, bukan sempadan pentabiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengakui wujud kekeliruan mengenai perkara itu apabila terdapat aduan orang awam dikenakan kompaun kerana rentas sempadan PDRM.

"Apabila kita sebutkan pergerakan dalam daerah dibenarkan tapi rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan... timbul kekeliruan mengenai rentas daerah.

"Ada dua sempadan daerah iaitu sempadan pentadbiran diketuai pegawai daerah dan satu lagi daerah polis.

"Sebenarnya kita tidak pernah guna sempadan daerah polis dari dulu, sebaliknya guna daerah di bawah pentadbiran pegawai daerah," katanya pada sidang media pada Selasa.

Mengenai individu yang telah dikompaun disebabkan kekeliruan itu, jelas Ismail, mereka boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah.

"Perkara ini telah diperbetulkan, apabila saya sendiri memaklumkan kepada PDRM, daerah yang digunakan adalah daerah pentadbiran kerajaan iaitu diketuai pegawai daerah.

"Saya ingin memaklumkan bagi mereka yang dikenakan kompaun kes-kes begini, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun tersebut dikeluarkan," katanya lagi.

Terdahulu, tular di laman sosial beberapa orang awam yang mendakwa dikenakan kompaun meskipun mereka berada dalam daerah dibenarkan.

Surat masuk asrama mungkin boleh jadi kebenaran khas rentas daerah, negeri - Ismail Sabri


KUALA LUMPUR: Surat kemasukan ke asrama atau surat daripada guru mungkin boleh dijadikan surat kebenaran khas untuk merentas daerah dan negeri ketika sesi persekolahan dibuka 1 Mac nanti.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membincangkan perkara itu bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan polis dalam masa terdekat.

“Jika pekerja boleh rentas daerah dan negeri hanya dengan surat majikan, tanpa surat kebenaran daripada polis, saya percaya KPM, kalau belum lagi (putuskan), saya akan bincang dengan KPM.

“Kalau boleh jadikan surat kemasukan ke asrama atau surat daripada guru boleh dijadikan sebagai surat kebenaran khas kepada ibu bapa yang nak hantar anak memasuki asrama di luar daerah atau negeri.

“Saya akan bincang dengan KPM dan polis supaya kelonggaran dapat diberikan,” katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan sama ada perniagaan berbentuk perkhidmatan dibenarkan beroperasi atau tidak pada Khamis ini.

Menurutnya, beliau memahami rungutan diterima peniaga hampir setiap hari, memohon perniagaan mereka dibenarkan beroperasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya akan bawa cadangan ini, permohonan ini ke Mesyuarat Teknikal petang esok (Rabu) dan pada Khamis saya akan umumkan sama ada boleh atau tidak.

“Ini kerana keputusan yang saya umumkan bukan daripada saya sendiri tetapi setelah Mesyuarat Teknikal dijalankan.

“Kita mendapat pandangan terutamanya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dalam sidang khas, ia akan dibentangkan. Apabila diluluskan, barulah ia akan diumumkan,” ujarnya.

Source: Astro Awani


Loading...
Back To Top