Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

PDRM Buru Individu Ugut Ketua Polis Negara

Loading...
                

PDRM buru individu ugut Ketua Polis Negara

BERNAMA
01/12/2020 


KUALA LUMPUR, 1 Dis -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu seorang lelaki yang membuat ugutan akan menembak mati Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan mendakwa dirinya sebagai ketua komander kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Selain itu, suspek berkenaan juga mendakwa bahawa dia akan menyerang Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata suspek berkenaan didapati menghantar ugutan menerusi e-mel kepada media berhubung ugutan itu sedang dikesan untuk ditangkap.

Ekoran itu, beliau berkata pihaknya telah membuka dua kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Suspek berkenaan merupakan individu yang sama dilaporkan pernah membuat kenyaatan menghina Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri 'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Semalam, beberapa media melaporkan telah menerima e-mel berhubung ugutan jenayah itu yang ditujukan kepada Abdul Hamid.

Menerusi e-mel berkenaan dilaporkan individu berkenaan turut didakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu, negara asal kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya memohon satu jawatankuasa ditubuh bagi menilai laporan bedah siasat membabitkan kes kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit pada 2019.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

"Polis akan merujuk perkara ini supaya jawatankuasa penilai berkenaan ditubuhkan dalam negara dan negara kelahiran model itu di Belanda.

Sebelum ini, media melaporkan model berkenaan ditemukan maut terjatuh dari balkoni unit kondominium CapSquare Residences di Kuala Lumpur.
Loading...
Back To Top