Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Video Gaduh Tular Di Media Sosial, Dua Lelaki Didenda RM800 (1 Video)

Loading...

Rider Food Panda Kena Pukul
Video gaduh tular di media sosial, dua lelaki didenda RM800

BERNAMA
30/11/2020 



KAJANG, 30 Nov -- Dua lelaki yang video rakaman pergaduhan mereka tular dalam media sosial baru-baru ini, masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bergaduh di tempat awam.

Majistret Syahrul Sazly Md Sain turut memerintahkan penghantar makanan Jasmady Jasman, 27, dan pengawal peribadi, Saiful Shazni Hanif, 33, menjalani hukuman penjara tujuh hari, sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan gaduh gempar di sebuah pondok pengawal kondominium di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, pada 11.15 pagi, 25 Nov lepas, dan didakwa mengikut Sesyen 159 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada masa dan tempat yang sama, ketika Jasmady mahu menghantar makanan kepada Saiful Shazni, dia dihalang masuk oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut.

Jasmady kemudiannya menghubungi Saiful Shazni supaya dia turun dan mengambil makanan di pondok pengawal. Saiful Shazni yang tidak berpuas hati dengan permintaan itu, bertindak memaki dan menolak Jasmady sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan.

Ketika merayu untuk hukuman ringan, Jasmady yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan denda yang ringan atas alasan dia bertindak sedemikian untuk mempertahankan diri serta kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan selain motosikalnya rosak.

Saiful Shazni yang juga tidak diwakili peguam pula merayu dikenakan hukuman ringan kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh bagi memberi pengajaran kepada mereka.
Loading...
Back To Top