Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

SMS, WeChat cemari bahasa Melayu era teknologi

Loading...

Oleh Dr Hadina Habil - 

Slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' sering kelihatan di kaca televisyen suatu masa dulu. Ia antara pesanan khidmat masyarakat disampaikan kerajaan dalam usaha menyatukan bangsa Malaysia.

Peribahasa ini membawa maksud bahasa ialah ciri pengenalan atau identiti sesuatu bangsa. Bahasa juga melambangkan personaliti dan emosi seseorang.

Umumnya, bahasa kasar memberi imej seseorang itu kasar sifatnya, sementara bahasa sopan memberi maksud penuturnya menghormati audien yang sedang berkomunikasi dengannya.

Bahasa digunakan bergantung beberapa faktor. Antaranya dengan siapa kita berkomunikasi (audien), apa ingin disampaikan dan bila atau konteks komunikasi (formal atau informal).

Sebagai contoh, pertama kali bertemu seseorang, kita akan menggunakan bahasa sopan kerana menghormati audien. Ini termasuk memilih perkataan yang baik. Begitu juga apabila berinteraksi dengan orang lebih tua berdasarkan pengamatan diri.

Namun, kemajuan teknologi mendedahkan generasi muda kepada alam maya yang mempunyai komuniti tersendiri, malah mempunyai norma dan bahasa tersendiri.

Kecepatan interaksi dalam talian menyebabkan terciptanya perkataan baharu bersifat tidak formal dan slanga. Hasilnya, terciptalah 'bahasa SMS' atau khidmat pesanan ringkas yang membuang vokal 'a,e,i,o,u' dan meninggalkan hanya konsonan.

Begitu juga pengguna WeChat dengan bahasanya yang memendekkan perkataan dan membina perkataan baharu berdasarkan bunyi sebutan dan mengabaikan ejaan betul.

Ironinya, keadaan ini menyebabkan banyak perkataan dalam bahasa Melayu dipendekkan secara salah dan lebih menyedihkan penggunaannya dalam masyarakat amat berleluasa.

Masalah akan timbul apabila generasi muda tidak dapat membezakan situasi formal atau santai, lantas gagal menggunakan bahasa sesuai mengikut keadaan sepatutnya.

Puncanya, kebiasaan menyingkatkan perkataan bertukar menjadi tabiat. Tidak hairanlah ada pelajar menggunakan bahasa SMS dan WeChat ini semasa menjawab soalan peperiksaan.

Keadaan sama berlaku apabila generasi muda menulis e-mel yang kini semakin diterima sebagai medium komunikasi formal. Apakah generasi begini yang ingin kita ketengahkan sebagai pembina masa depan bangsa dan negara?

Media sosial seperti diketahui menyediakan wadah di mana semua orang mempunyai capaian internet dapat menulis dengan bebas.

Sifat 'synchronous' atau 'segerak' media sosial ini menyediakan medium rinteraksi secara terus di alam maya. Di sinilah ramai kurang sedar apa yang ditulis menjadi bacaan ramai pengguna media sosial itu.

Seringkali kita terbaca mesej ditulis menggunakan bahasa kesat. Perkataan sepatutnya tidak digunakan dalam penulisan seperti bersifat mencaci, memaki hamun dan membawa maksud negatif, digunakan berleluasa.

Apakah punca ini? Adakah rakyat Malaysia sudah kurang sifat malu dan semakin 'ganas' pemikirannya sehingga sifat ini dizahirkan terbuka di media sosial? Atau ada kekeliruan tentang medium digunakan iaitu media sosial?

Jika majoriti menggunakan bahasa 'WeChat' dan SMS ini generasi muda, bahasa kesat dan bersifat cacian ini pula digunakan semua golongan masyarakat, dari anak muda hingga orang dewasa.

Keadaan ini membimbangkan kerana kita tidak mahu penggunaan kata kesat, bersifat cacian dan maki hamun diterima sebagai kebiasaan dalam penulisan media sosial kerana bahasa menggambarkan jiwa sesuatu bangsa.

Ia tidak sepatutnya menjadi satu norma diterima masyarakat. Lebih teruk, kita tidak mahu orang Malaysia dilabel kasar, tidak sopan dan tidak beradab hanya kerana pilihan perkataan digunakan dalam penulisan di media sosial.

Mengetahui siapa yang akan membaca, apa yang akan ditulis, bila mesej ditulis dan apa medium digunakan akan dapat membantu seseorang itu memilih bahasa sesuai dengan keadaan dihadapi.

Ketidakupayaan mengambil kira faktor di atas akan menjejaskan mesej ingin disampaikan. Pemahaman berbeza antara penulis dan pembaca juga akan menyebabkan salah faham dan tujuan komunikasi tidak kesampaian.

Atas sebab itu, kesedaran perlu diberi kepada generasi muda untuk mendukung dan menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam perbualan tanpa mengira medium komunikasi.

Ini penting untuk memastikan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan penulisan di era teknologi.

Penulis ialah Profesor Madya di Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Loading...
Back To Top