Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Polis Tahan Pengawal Keselamatan Warga Nepal Disyaki Bunuh Rakan Senegara

Loading...
Polis tahan pengawal keselamatan warga Nepal disyaki bunuh rakan senegara
BERNAMA
19/09/2020 11:47 AM



KUALA LUMPUR, 19 September -- Polis menahan seorang pengawal keselamatan warga Nepal kerana disyaki membunuh rakan senegara dalam pergaduhan di sebuah kondominium di Jalan Gurney 2 di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi tadi, di sebuah pondok kebun sayur berhampiran Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, kira-kira 30 kilometer dari sini.

Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 2.40 petang Khamis lepas, polis menerima laporan berhubung pergaduhan melibatkan warga asing dan setibanya di lokasi kejadian, seorang lelaki warga Nepal berusia 27 tahun, ditemukan mati dipercayai diserang dengan senjata tajam.

"Hasil siasatan awal, suspek dan mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal di kondominium berkenaan yang dijadikan asrama syarikat, kira-kira enam bulan lepas.

"Sebilah pisau berukuran 12 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu, turut ditemukan berhampiran lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rajab berkata ketika kejadian, mangsa dan suspek dipercayai dalam keadaan mabuk, sebelum berlaku pertengkaran mulut sehingga menyebabkan mangsa ditikam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

-- BERNAMA
Loading...
Back To Top