Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Muafakat Nasional tak perlu ular lidi macam Bersatu, kata Ku Li

Loading...

 


MUAFAKAT Nasional (MN) tidak patut menerima Bersatu kerana pengkhianatan parti itu menyebabkan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya lepas, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Pandangan itu merupakan sentimen daripada akar umbi Umno yang menolak Bersatu, katanya dalam wawancara dengan Insight Talk.

“Saya tidak menegur. Saya hanya meluahkan pandangan orang bawah yang telah disampaikan kepada saya. Apalah saya ini, saya bukan orang berkepentingan.

“Nampaknya mana-mana saja orang bawah tak setuju Bersatu diterima dalam MN, oleh kerana (itu) kita dengar macam-macam cerita Bersatu,” katanya.

Jelasnya, anggota Umno itu tidak mahu menerima Bersatu semula selepas pengkhianatan yang dilakukan.

“Bersatu ditubuhkan dan jatuhkan BN macam mana kita boleh terima dia masuk dalam keluarga kita. Dia adalah musuh kita.

“Pecah belahkan kita orang dia mencuri orang kita. Ramai berbelas juga yang dia curi. Tak mengapalah yang dia curi itu.

“Kita ucap selamat tinggal kepada mereka. Sekarang nak duduk semeja dengan kita. Ini pengkhianat bagi orang bawah,” katanya.

Putera raja Kelantan itu antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik keputusan Bersatu menyertai MN, apabila parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu mahu menerima ahli bukan Melayu.

Ekoran itu juga, beliau menggesa ahli Parlimen Umno dalam Perikatan Nasional (PN) melepaskan jawatan dalam Kabinet.

Tengku Razaleigh, ahli Parlimen paling lama berkhidmat setakat ini, turut mengumpamakan Bersatu seperti ular lidi disifatkannya tidak berpengaruh besar seperti Umno dan PAS.

“Macam mana kita boleh terima ular lidi ini (Bersatu) nak berkawan dengan ular sawa (Umno, PAS),” katanya.

Beliau bimbang Bersatu akan mengundang perpecahan akibat tentangan daripada akar umbi.

“Bukan kita pandang rendah kecilkan mereka tetapi standard itu mestilah kalau nak bersama boleh tapi ukuran itu mesti ikut piawaian yang boleh diterima masyarakat.

“Kita asaskan MN berdasarkan dua parti PAS dgn Umno. Kita ada hubungan dengan dua kumpulan besar ini tidak timbul cadangan nak ada Bersatu atau pihak lain.

“Bukan kita tak mahu siapa masuk tapi kita kira cukuplah Melayu berpecah banyak sangat parti yang kecil,” katanya.

Loading...
Back To Top