Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Henti pecah belahkan orang Sabah, Shafie beri amaran selepas dakwaan PATI

Loading...

 


PETALING JAYA: Presiden Warisan, Shafie Apdal mengkritik pembangkang atas “taktik pelabelan” untuk memecahbelahkan perpaduan di Sabah.

Borneo Post melaporkan Shafie menyasarkan Parti Cinta Sabah (PCS) kerana tidak berhenti mempersoalkan statusnya sebagai pemimpin untuk semua orang Sabah.

“Jangan guna kaum dan agama. Kita tidak menggunakan kaum dan agama untuk membina negara kerana ini ialah Malaysia.

“Saya ialah ketua menteri Sabah, bukannya ketua menteri Bajau, Kedayan, Dusun, tetapi ketua menteri untuk rakyat Sabah tanpa mengira agama dan bangsa.”

Shafie berkata demikian susulan dakwaan beliau ialah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didakwa dilemparkan terhadapnya oleh PCS disebabkan keturunan Bajaunya.

“Orang Bajau ialah penduduk asal Sabah. Saya dilahirkan di Semporna. Nenek saya dikebumikan di Semporna.

“Bapa nenek saya dikebumikan di Semporna. Ibu nenek saya dikebumikan di sana juga. Tetapi mereka kata saya PATI,” kata Shafie dipetik akhbar berpangkalan di Sarawak itu.

Katanya, Warisan turut mendapat label sama.

Bekas menteri persekutuan di bawah pentadbiran BN itu turut mengingatkan lawannya mengenai kebangkitannya dalam gabungan itu sebelum ini.

“Saya pernah menjadi wira dalam BN, tetapi apabila anda menentang BN, anda berdepan kesukaran. Anda lawan BN, anda menjadi PATI. Sejak bila saya jadi pelarian?”

Beliau berkata, dasarnya tidak pernah berasaskan kaum atau agama.

“Ini sebabnya apabila gereja minta bantuan, saya beri pada mereka dan bila sekolah Cina minta perkara sama, mereka turut dibantu.

“Saya mempunyai cucu Cina kerana anak saya berkahwin dengan wanita Melanau Cina dari Sarawak.”

Loading...
Back To Top