Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Dalam keadaan kalah PH masih tak sehaluan banyak hal dan terus bergaduh

Loading...

Sayap Wanita dan Pemuda Amanah tampil membela timbalan presiden mereka Salahuddin Ayub yang berkata PH sedia menerima Bersatu Johor kembali.

Dalam kenyataan bersama hari ini, jurucakap Wanita dan Pemuda Amanah berkata kenyataan Salahuddin berkenaan perkara itu merupakan "suatu yang kerap dibincang dan ditekankan oleh Majlis Presiden PH sejak awal".

"Bahkan (ia dibincangkan) dalam mesyuarat Majlis Presiden PH bersama Dr Mahathir Mohamad yang telah diadakan pada 29 Februari 2020 yang lalu di Yayasan Al Bukhari, Kuala Lumpur," kata Aiman Ketua Wanita Amanah Athirah Sabu dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin.

Kenyataan itu sebagai respons kepada Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Ahmad Syukri Che Razab yang membidas Salahuddin.

Ahmad Syukri dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa AMK menolak idea untuk menerima kembali Bersatu sebagai anggota PH.

Ahmad Syukri juga menyifatkan idea itu sebagai tidak bermaruah dan perlu ditolak oleh Majlis Presiden PH.

"AMK juga menggesa jika masih ada pemimpin dalam PH yang masih bermimpi untuk kembali menjadi kerajaan bersama Bersatu sama ada di peringkat pusat atau negeri, maka pemimpin tersebut boleh meninggalkan PH dan melompat ke Bersatu, Umno, PAS atau bersama gerombolan Azmin Ali," katanya.

Mengulas lanjut, sayap Wanita dan Pemuda Amanah berkata, Ahmad Shukri mungkin terkhilaf sambil menyorot bahawa Salahuddin bukan orang yang bertanggungjawab meruntuhkan PH.

Mereka juga berkata Salahuddin menganggotai Majlis Presiden PH dan menurut mereka, sudah tentu memahami, menjiwai semangat dan idea yang ada dalam majoriti kepimpinan Majlis Presiden PH.

"Sejauh yang kami lihat dan cermati, apa yang disuarakan oleh Salahuddin itu adalah selari dengan semangat dan perbincangan dalam Majlis Presiden PH," kata mereka.

Bukan semua pemimpin Bersatu sokong Muhyiddin

Justeru, kata mereka lagi, keutamaan buat PH adalah mengembalikan mandat rakyat dalam pilihan raya umum lalu dan "membawa kembali mereka yang tersilap dan terkhilaf ke landasan asal".

"Selepas terpesona akibat mimpi-mimpi indah yang digambarkan kepada mereka oleh sosok-sosok tertentu, mereka perlu dikejutkan dan dibawa keluar daripada mimpi-mimpi itu yang kini ternyata sudah bertukar menjadi mimpi ngeri.

"Umum menyedari bahawa bukan semua pemimpin dan ahli Bersatu yang bersama pengkhianatan yang telah berlaku, sama sepertimana bukan semua pemimpin dan ahli PKR yang khianat," katanya.

Mereka juga menyorot bahawa Bersatu kini terpecah kepada dua kumpulan iaitu, penyokong Mahathir dan penyokong Muhyiddin Yassin.

"Kita perlu fokus dan berjiwa besar untuk memperkukuhkan sebuah perjuangan dan kerjasama politik yang juga besar.

"Ini wajar difahami secara jujur, bertanggungjawab dan tenang oleh semua kita, khususnya anak-anak muda. Politik yang sangat dinamik dan sangat seni ini perlu diurus dengan minda yang bugar dan sedar," kata mereka.

Salahuddin sebelum ini berkata PH bersedia menerima semula Bersatu Johor kembali dalam gabungan mereka.

Kenyataan bekas menteri itu hadir di tengah-tengah ketegangan hubungan Umno dan Bersatu di Johor susulan pelantikan politik di agensi kerajaan.

Bersatu Johor sebelum ini mendakwa pelantikan politik, termasuk untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, tidak dilakukan secara adil dan menuduh Umno mengetepikan parti mereka.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, pada Feb lalu membawa partinya keluar daripada PH, yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Bersama sekumpulan bekas ahli parlimen PKR yang dipimpin Mohamed Azmin Ali, Bersatu menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional bersama BN, PAS, Umno dan GPS pada Mac lalu.

Bagaimanapun Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, dan penyokongnya tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.Ahli parlimen Langkawi itu baru-baru ini mengesahkan akan duduk di kerusi pembangkang pada sidang parlimen 18 Mei ini.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Loading...
Back To Top