Loading...
SHAH ALAM - Malaysia terus mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara-negara dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) terbanyak di seluruh dunia apabila negara kini menghuni tangga ke-30 semalam (5 April) berbanding tangga ke-17 pada 19 Mac lalu.
Berdasarkan data statistik John Hopkins University setakat lewat petang semalam, beberapa negara lain seperti Chile, Denmark dan India sudah mula mengatasi negara Malaysia yang sehingga kini mencatatkan keseluruhan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 3,662 orang.
Kedudukan terkini itu sekali gus menunjukkan usaha keras Malaysia membendung pandemik Covid-19 melalui inisiatif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula menampakkan keberkesanan memberangsangkan.
Hakikat itu disokong Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman yang menegaskan trend terkini statistik kes jangkitan Covid-19 di Malaysia sudah mula menunjukkan keluk mendatar dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, trend itu juga berpotensi mengetepikan ramalan aktuari beberapa agensi dunia seperti JP Morgan yang terdahulu menjangkakan Malaysia berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 akibat gelombang ketiga pada pertengahan bulan April.
Bagaimanapun, Dr Malina memberi amaran lengkuk statistik jangkitan kes Covid-19 di Malaysia mampu kembali meningkat mendadak seperti Hong Kong sekiranya kerajaan tidak mengambil iktibar daripada pendekatan negara itu yang melonggarkan serta-merta pelaksanaan PKP sebaik angka jangkitan kes dicatatkan mula mendatar.
"Tindakan PKP sejak 18 Mac lalu sememangnya memberikan hasil positif apabila julat anggaran kes jangkitan Covid-19 hanya sekitar 110 hingga 235 kes dalam tempoh beberapa hari ini, sekali gus menunjukkan keluk mendatar berbanding trend jangkaan JP Morgan yang sepatutnya menunjukkan jumlah kes meningkat mencanak.
"Meskipun ada jangkaan berlaku gelombang ketiga peningkatan kes jangkitan Covid-19, kita lihat statistik terkini Kementerian Kesihatan (KKM) terus menunjukkan keputusan lebih baik.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan semalam. Foto: Bernama
"Kita berharap rakyat terus mencontohi disiplin rakyat negara Jepun dan Korea Selatan untuk terus mencatatkan penurunan lengkuk. Namun sekiranya kita tidak berhati-hati dan terus melonggarkan PKP sebaik sahaja kes jangkitan berkurangan, kita boleh menerima nasib seperti negara Hong Kong," katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.
Berikutan kebimbangan itu, Dr Malina mengakui terdapat keperluan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan PKP selepas 14 April ini kerana masih terdapat lebih 2,000 pesakit yang positif Covid-19 dirawat di hospital.
Menurutnya, kesemua pesakit positif Covid-19 yang masih dirawat mahu pun yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berpotensi mewujudkan gelombang jangkitan baharu pandemik itu sekiranya kerajaan tidak berhati-hati menanganinya.
"Selain menasihati rakyat negara ini untuk terus mematuhi PKP demi memutuskan rantaian penularan Covid-19, saya juga berharap kesemua petugas barisan hadapan lebih berwaspada dan turut mengamalkan penjarakkan sosial seperti amalan pembersihan tangan sekerap mungkin bagi mengelakkan mereka mudah dijangkiti.
"Bagi golongan sukarelawan yang menyalurkan bantuan kelengkapan perlindungan diri atau makanan kepada petugas barisan hadapan atau bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan, mereka juga diingatkan untuk berhati-hati bagi mengelakkan menjadi punca penularan Covid-19," katanya.
Semalam, Malaysia merekodkan empat lagi kematian berkaitan Covid-19.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Loading...