Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Elak Jadikan Covid-19 Wabak Panik dan Ketakutan

Loading...
Oleh A Kadir Jasin

KALAU Covid-19 tidak bunuh kita, ketakutan dan panik mungkin akan bunuh kita.
Ini bukan lagi wabak penyakit. Ia sudah jadi penyakit mental.

Ketakutan dan panik telah nengambil alih, diapi-apikan oleh ketidakwarasan dan ketidakbertanggungjawaban pengamal media sosial.

Pembelian panik menyebabkan supermarket dan kedai kehabisan barang, harga naik dan bekalan disembunyikan.

Penjualan panik menyebabkan trilion ringgit modal pasaran hancur musnah di merata dunia.

Akibatnya setiap orang yang ada pelaburan atau simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), mengalami kerugian.

Dilaporkan dua orang telah meninggal dunia akibatnya di negara kita, bilangan dijangkiti meningkat dan yang sembuh bertambah.

Itulah bahana wabak era digital di mana ketakutan dan panik mudah disebar sehingga menyebabkan manusia hilang akal dan habis wang simpanan.

Saya berusia 73 tahun. Generasi saya melalui pelbagai wabak dan jangkitan maut. Kita takut, tetapi kita tidak panik. Yang selamat dan sembuh, daya tahan jangkitannya menjadi lebih kuat.

Isnin lalu, saya membuat kunjungan biasa kepada doktor saya, seorang bekas pegawai perubatan tentera. Dia menjaga kesihatan saya sejak tahun 1980-an apabila dia menjadi doktor di New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Waktu itu NSTP amat berjaya. Ia mempunyai klinik perubatan sendiri. Ia juga memberi biasiswa kepada kakitangan dan orang luar untuk melanjutkan pelajaran, ada pejabat di London dan New York, menghantar kakitangan untuk menunaikan haji sebagai hadiah perkhidmatan lama, memberi pinjaman perumahan dan kenderaan serta membayar bonus sehingga tujuh bulan.

Itu cerita lama. Bahan nostalgia. Waktu itu ramai anak muda berjaya jadi wartawan dan pengamal perbuhungan awam melalui Skim Latihan Pra-Pengambilan (PETS) yang dimulakan pada akhir 1980’an oleh NSTP sebagai khidmat masyarakat.

Dalam lawatan kepada doktor saya itu, tekanan darah saya 139/60, paru-paru baik, tidak demam dan daya refleks baik. Hanya ada sedikit sakit tekak. Saya tidak merokok dan tidak makan gula mentah jadi itu menyumbang kepada kesihatan.

Dilahirkan dan dibesarkan ketika zaman susah ada kebaikannya. Sesiapa saja yang berjaya melepasi zaman kanak-kanak yang penuh penyakit, kekurangan zat makanan dan tahap kebersihan rendah menjadi lebih kuat.

Setidak-tidaknya itulah yang tercetus dalam perbualan saya dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengenai kesihatan pada zaman sebelum merdeka dan selepasnya dalam kaitan wabak besar Covid-19 ini.

Dr Siti Hasmah yang pernah bertugas sebagai Pengarah Perubatan Desa di Alor Setar amat peka tentang penyakit dan jangkitannya serta kesan rawatan kepada kesihatan jangka panjang pesakit, khususnya mengenai imuniti.

Waktu itu, taraf kesihatan rendah dan kemudahan rawatan amat terhad. Ada pelbagai penyakit berjangkit yang membunuh atau mencacatkan seperti cacar, taun, demam kepialu (typhoid), malaria, batuk kering dan polio.

Tidak cukup dengan itu, ada pula penyakit yang dibawa oleh binatang ternakan dan haiwan kesayangan.

Dalam perbualan dengan doktor saya pula, kami menyentuh tentang penjagaan dan rawatan kesihatan moden yang mungkin menyebabkan manusia hilang imuniti dan mudah dijangkiti penyakit.


Ini belum lagi diambil kira penyakit yang berpunca daripada keturunan (genetic) dan gaya hidup.

Walaupun pelbagai vaksinasi diberi sejak bayi, ia belum menjamin yang seseorang itu tidak akan dijangkiti penyakit kerana badannya tidak membina imunit semula jadi untuk menyekat penyakit-penyakit baru.

Jadi dalam kita berjaga-jaga terhadap pandemik atau wabak besar Covid-19 ini, kita jangan panik hingga hilang akal dan kira bicara. Ketakutan kita biarlah berasas.

Masih ingat lagikah bagaimana kita dilanda ketakutan dan panik malah menyangka dunia akan kiamat akibat Y2K?

Bagi saya, Covid-19 menjadi lebih buruk daripada yang sebenarnya kerana sebahagian besar manusia telah menjadi hamba kepada media sosial dan menyalahgunakan kuasa digital.
Wallahuaklam. Terima kasih.























Loading...
Back To Top