Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

116 rakyat asing di sebuah kilang di Muar ditahan cuba solat jumaat di bumbung

Loading...

Polis menahan 116 rakyat asing di sebuah kilang di Muar, tengah hari ini, kerana sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

“Mereka yang terlibat ini sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat di atas bumbung kilang berkenaan. Jadi, boleh lihat dalam keadaan sebegini pun, masih ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melanggar syarat atau arahan yang diberikan,” katanya pada sidang media, di Johor Bahru, hari ini.

 Beliau berkata tindakan lanjut terhadap kesemua rakyat asing itu akan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Imigresen 1959/63. “Kami juga akan siasat majikan mereka.

Kalau majikan pun mengetahui atau sedia maklum tetapi tidak memaklum dan mengambil langkah pencegahan, maka, kami akan ambil juga tindakan,” katanya. Ayob Khan berkata penangkapan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang ditahan akibat melanggar PKP di negeri ini, setakat hari ini adalah 149 orang dan daripada jumlah itu, seramai 33 orang merupakan rakyat tempatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai tujuh lagi rakyat Malaysia yang menghadiri program Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia telah pulang ke tanah air melalui Terminal Feri Stulang Laut, di sini, pada 11 pagi tadi.

“Jemaah ini dipercayai ada kaitan dengan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling. Mereka telah diberi saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kesemuanya negatif jangkitan COVID-19 tetapi mereka telah diletak dalam kuarantin di pusat kuarantin di sini (Johor Bahru) selama 14 hari,” katanya.

Semalam, polis memaklumkan, seramai 36 jemaah tabligh Malaysia yang menghadiri program sama sudah pulang ke Malaysia menerusi dua terminal feri antarabangsa di negeri ini. Kesemua mereka pulang menerusi Terminal Feri Antarabangsa Stulang, di sini dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

KKM menganggarkan kira-kira 80 hingga 100 rakyat Malaysia ke Sulawesi bagi menghadiri perhimpunan berkenaan. -Bernama




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Loading...
Back To Top