Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

WHO puji Malaysia tangani COVID-19

Loading...
PUTRAJAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pujian itu disuarakan Ketua Pengarah WHO, Dr Tendros Adhanom Ghebreyesus dalam satu telesidang yang diadakan di kementeriannya, hari ini.

Katanya, WHO turut memandang tinggi kesihatan awam serta mencadangkan Malaysia untuk memperluaskan aktiviti pemantauan dengan menjalankan ujian COVID-19 ke atas pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

"Pihak kementerian turut memaklumkan kepada WHO bahawa kementerian ini sudah memperluaskan pemantauan jangkitan salur pernafasan dengan menjalankan ujian COVID-19.

Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan WHO dan beberapa pihak yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media COVID-19 selepas mengadakan telesidang selama 20 minit bersama Dr Tendros, di kementeriannya, di sini hari ini.

Pada 5 Februari lalu, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru turut memuji tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan COVID-19.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan di negara ini cemerlang dalam melakukan siasatan kesnya selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dua rakyat Malaysia yang kini dirawat di Jepun kerana positif COVID-19 akan dibawa pulang ke Malaysia, Dr Dzulkefly berkata pihaknya putuskan pesakit dirawat di negara berkenaan sehingga sembuh.

"Mereka kini di bawah pemerhatian Jepun, kita izinkan mereka dirawat di sana. Itu adalah protokolnya sebagaimana kita lakukan di negara ini (merawat warga asing)," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua rakyat Malaysia yang juga penumpang kapal persiaran Diamond Princess, kini sedang dirawat di negara berkenaan.

Menurut laporan itu, dua lagi penumpang yang juga rakyat Malaysia masih menunggu keputusan ujian COVID-19.

Sehingga kini, sebanyak 455 penumpang kapal itu disahkan positif COVID-19. Kapal persiaran itu tiba di perairan Jepun pada awal Februari dengan lebih 3,700 penumpang dan anak kapal dari lebih 50 negara.

Kapal persiaran berkenaan dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun selepas pihak berkuasa menemui penumpang yang turun dari bot di Hong Kong ketika pelayaran kapal itu didapati positif virus berkenaan.
Loading...
Back To Top