Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Muafakat Nasional gagal di Terengganu, kata pemimpin Pakatan

Loading...
Oleh

KERJASAMA antara Umno dan PAS atas nama Muafakat Nasional gagal di Terengganu, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri.

Mereka melihat kerjasama Umno dan PAS di Terengganu tidak sama seperti kerjasama yang serupa di Kelantan, sebuah lagi negeri yang juga ditadbir oleh parti Islam itu.

Ketua Amanah Kawasan Marang, Miqdad Zakaria berkata antara punca kegagalan Muafakat Nasional di Terengganu ialah keengganan pimpinan PAS negeri berkongsi jawatan bersama Umno.

“Bila dah isytihar muafakat ia sudah tentu melibatkan jawatan bersama, maksudnya kesatuan kita (PAS dan Umno).

“Kalau kita saja ada jawatan… menteri besar kita, exco kita… tapi tak bagi rakan dalam muafakat, kiranya ia cuma retorik dan beri gambaran muafakat PAS dan Umno sangat gagal,” kata pemimpin akar umbi Amanah itu kepada The Malaysian Insight dalam satu pertemuan di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya kegagalan itu jelas kelihatan apabila Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai pembangkang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak seperti di Kelantan.

PAS pernah memerintah di Terengganu semasa Pilihan Raya Umum 1999 sehingga 2004 namun kemudian kalah kepada BN.

Sejarah antara dua parti itu juga menyaksikan penyokong mereka melemparkan tuduhan kafir dan pelampau antara satu sama lain sehinggakan di masjid dan surau di Terengganu dibahagikan mengikut garis politik.

Selepas hilang kuasa kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum yang lalu, Umno memutuskan untuk melupakan sejarah pahit itu dan membuat pakatan dengan PAS.

Kedua-dua parti pembangkang itu menandatangani pakatan yang dipanggil Muafakat Nasional pada September lepas. Ia digagaskan sebagai gerakan politik untuk mengalahkan PH pada pilihan raya umum akan datang.
PAS, Umno tidak lupa perseteruan lama

Miqdad juga berkata PAS dan Umno Terengganu dilihat mempunyai kepincangan dalam parti masing-masing.

PAS Terengganu katanya berpecah kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pro Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, kumpulan pro exco kanan dan kumpulan yang berada di tengah-tengah.

Katanya, PAS yang berpecah tiga di Terengganu sama seperti Umno yang juga tidak sekata.
“Umno juga ada blok dalaman seperti blok Ahmad Zahid Hamidi yang beri kesan pada Muafakat Nasional, dan hari ini PAS pula sokong Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi nampak ketidakstabilan dalam Muafakat Nasional mereka.

“Bagi saya dah pecah tunggu belah saja kerana kerjasama ini tidak ada hasil untuk rakyat,” katanya.
Menurut Miqdad, Muafakat Nasional di Terengganu juga gagal kerana faktor perseteruan yang lama antara PAS dan Umno.

Ini ditambah dengan latar belakang politik rakyat Terengganu yang mempunyai pemikiran sendiri dan boleh berubah secara drastik seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2004.

“Dalam isu ini PAS tidak boleh lupa kekejaman Umno dan Umno tidak boleh lupa kekejaman PAS.

“Macam dalam urus tadbir negeri PAS dan Umno masing- masing ada rahsia. PAS nak kena tutup kepincangan Umno bila dah jadi rakan tak rasmi. Dengan hutang yang tinggalkan oleh BN.

“Bila PAS ambil alih negeri, masuk-masuk saja dah kena bayar hutang RM300 juta. Jadi, benda macam ini yang membantutkan pentadbiran PAS dan Muafakat Nasional,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail mendakwa amat mustahil Muafakat Nasional antara dua parti itu boleh berjaya di Terengganu.

Katanya PKR sendiri mempunyai pengalaman dikhianati oleh PAS apabila melanggar ikrar yang dibuat bersama dalam PRU13 bagi pembahagian kerusi.

“Pada masa itu kita dan berpakat berjanji dan PAS mungkir janji dan menyebabkan berlaku pertindihan tiga penjuru,” katanya.

Azan berkata kesannya Pakatan Rakyat ketika itu kalah tiga kerusi negeri iaitu Seberang Takir, Kota Putera dan Bukit Besi.

Tambah Azan, kerjasama antara dua parti di negeri itu juga dingin dengan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Umno Ahmad Said.

“Umno Terengganu tidak akan setuju dengan muafakat apatah lagi apabila diketuai Mat Said.

“Ini kerana semasa krisis menteri besar tahun 2015 untuk buat undi tidak percaya sudah ada perbincangan untuk PAS sokong Mat Said tapi tidak berlaku pada saat akhir,” katanya.
Loading...
Back To Top