Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Harga minyak sawit dijangka naik ke paras baik

KUALA LUMPUR: Hasrat Pakistan membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia dijangka mempengaruhi harga minyak sawit mentah (MSM) untuk menokok pada paras baik.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata pihaknya menjangkakan untuk tempoh separuh penggal ini, paras harga MSM akan meningkat melebihi RM2,800 daripada RM2,705 satu tan setakat semalam kesan daripada jangkaan penghasilan dan stok rendah awal tahun ini.

Beliau berkata, pastinya kesediaan Pakistan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit dari Malaysia memberi berita baik kepada setengah juta pekebun kecil di negara ini.

“Kami sangat gembira dengan kesediaan Pakistan untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia. Sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia sangat dialu-alukan.

“Kami juga berharap usaha untuk menjadikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia
Loading...
(MSPO) mandatori termasuk pekebun kecil akan membuka lebih banyak pasaran untuk minyak sawit Malaysia
.
“Permintaan ini (dari Pakistan) pastinya akan mengekalkan harga minyak sawit pada paras yang baik sekali gus memberi manfaat kepada sekitar setengah juta pekebun kecil dan keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Pakistan membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia.

Hasrat itu dinyatakan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Pakistan, Imran Khas dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya, semalam.

Imran dipetik berkata, kesan import lebih banyak minyak sawit dari Malaysia dapat mengimbangi pengurangan import komoditi berkenaan oleh India.

Tahun lalu, Pakistan mengimport sebanyak 1.1 juta tan minyak sawit Malaysia.

Berikutan komitmen ditunjukkan Pakistan, Ahmad Parveez berkata beliau mengharapkan penguasaan minyak sawit keluaran Malaysia dapat dipertingkatkan lagi selepas ini sekali gus bersaing dengan Indonesia yang menguasai pasaran negara itu.

“India adalah pasaran terbesar kita untuk beberapa tahun lalu dan diharapkan ia dapat terus dipertahankan.

“China mungkin tergugat sedikit kerana coronavirus tetapi keperluan makanan berasaskan minyak khususnya makanan segera seperti mi segera dijangka akan terus meningkat susulan pengurangan orang ramai mengunjungi tempat sibuk seperti restoran.

“Oleh itu, kami mengharapkan pasaran Asia Tenggara serta pasaran baharu dapat dipertingkatkan dalam usaha memastikan kestabilan harga sawit negara,” katanya.
Loading...
Back To Top