Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Akhirnya Pas pun amal sekularisme Machiavelli

Loading...
Oleh ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Aneh sekali langkah Pas yang bercadang untuk membawa usul percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Jika dibaca kenyataan-kenyataan para pemimpin Pas yang bersungguh-sungguh menyokong usul tersebut, terasa pula jijik dan kembang tekak kerana begitu jelas wajah-wajah hipokrit parti jumud yang menggunakan sarung agama ini.

Asasnya adalah apa tujuan undi percaya ini dikemukakan?

Apakah Pas mahu memastikan Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal atau sekadar menyindir Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim yang cuma menunggu tarikh untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan?

Soalan yang perlu dijawab lagi, semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Pas akan menyokong Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH atau memilih kekal bertanding pelbagai penjuru?


Agak ‘win’ apabila Perdana Menteri sekadar mengucapkan terima kasih kepada Pas. Respon ringkas Tun Dr Mahathir, “saya sudah menjadi Perdana Menteri”.

Apa yang anehnya berhubung usul undi percaya Perdana Menteri ini ialah Pas sahaja yang kelihatan beriya-iya (atau yang lebih tepat adalah terhegeh-hegeh) menunjukkan sokongan manakala rakan muafakatnya, Umno pula kekal teragak-agak untuk mengambil langkah yang sama.

Mungkin kerana malu-malu atau turut merasa aneh dengan usul luar akal rakan muafakatnya itu.

Sehingga 11 Februari pun Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan masih belum memberi keputusan dan sekadar memberitahu akan membawa cadangan itu di peringkat parti
Pas kononnya menggunakan alasan bahawa usul tersebut dikemukakan bertujuan untuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik.

Soalannya, selama ini pernahkah Pas memikirkan tentang kestabilan politik dan ekonomi negara?

Apakah idea-idea yang telah dikemukakan oleh Pas bagi membantu Kerajaan PH membangunkan negara? Hampir tidak ada. Jangankan untuk membantu bangunkan negara, urusan negeri yang diperintah seperti Kelantan dan Terengganu pun tidak selesai.

Entah berapa banyak manifesto yang dijanjikan dalam PRU telah ditunaikan oleh dua kerajaan negeri ini. Apa yang dicapai hanyalah apa yang telah diusahakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Pas sebenarnya tidak berminat pun untuk menjadi pembangkang yang baik. Pendekatan budaya politik matang dan sejahtera pun sudah lama dikuburkan selepas kerajaan kleptokrat pimpinan Najib Razak tumbang.

Apa yang Pas mahukan sekarang adalah kuasa dan nampak semakin bernafsu selepas berbaik-baik dengan musuh politik yang dikafirkan selama ini.

Selepas berbaik, Pas pun tidaklah membantu Umno menjadi lebih baik. Apa yang boleh kita nampak adalah Pas pula ikut hanyut dengan Umno.

Malah, MCA yang dahulunya dianggap seketul najis mughalazah dalam sekawah gulai pun sudah dibantu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Maka, pada bahagian mana yang boleh diyakini bahawa Pas sedang berusaha membantu memulihkan negara ini dari segi kestabilan politik dan keyakinan ekonomi?

Lihat sahajalah bagaimana Pas membakar sentimen perkauman dengan ideologi politik Islam mereka yang jumud itu. Pas sebenarnya tidak kisah pun tentang apa yang akan terjadi kepada negara.

Apa yang penting bagi mereka adalah tembolok sesama pemimpin dapat dipenuhkan sepuas-puasnya.
Tengok sahajalah apa yang mereka bangunkan di Kelantan. Masalah air tidak selesai tetapi kenderaan rasmi pemimpin negeri sudah bertukar ganti.

Kemudian telitilah pula alasan yang mereka kemukakan. Bacalah kenyataan Ketua Pemuda Pas yang membela Kerajaan Negeri Kelantan membeli kereta mewah itu dalam keadaan negeri masih daif dan ada sekolah agama yang dibangunkan seperti reban ayam.

Lebih menggelikan hati apabila Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak peduli pun bagaimana sesebuah kerajaan itu dibentuk. Kononnya, asalkan selaras dengan Perlembagaan, demokrasi dan undang-undang, tubuh kerajaan ikut pintu belakang dan tingkap pun boleh.

Aduh, memalukan sekali kenyataan begini keluar dari mulut pemimpin parti yang mendakwa lebih suci perjuangannya berbanding parti lain. Mungkin inilah agaknya salah satu daripada tujuh dosa yang disebut oleh Frederick Lewis Donaldson iaitu “politik tanpa prinsip”.

Begitu aneh sekali apabila demi memenuhi serakah untuk berkuasa, Pas yang menentang keras sekularisme sekarang turut terdorong untuk mengamalkan prinsip Machiavelli “matlamat menghalalkan cara”.

Pintu belakang pun pintu belakanglah, asalkan dapat jadi menteri. Apa yang diharapkan sebelum Pas terus menjadi badut politik, tanggallah dulu pakaian agama. Malulah orang tengok perangai pejuang agama begini wataknya.
Loading...
Back To Top