Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Utama kesihatan elak jangkitan

Oleh Prof Dr Azizi Ayob

Penularan coronavirus 2019 (2019-nCov) di China, terutama di Wuhan dan Hubei yang kemudian turut membabitkan negara lain termasuk Malaysia, menuntut setiap warga memberikan keutamaan kepada kesihatan.

Tanggungjawab mengekang penularan bukan hanya pada pihak berkuasa, sebaliknya setiap individu dan keluarga perlu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa perubatan dan kesihatan.

Maklumat yang betul dan berita yang benar juga boleh membantu kita untuk mengambil tindakan tepat dalam menghadapi penularan coronavirus yang kini mencatatkan peningkatan kematian kepada 81 mangsa maut dan lebih 2,761 mangsa disahkan positif sehingga rencana ini ditulis.

Kementerian Kesihatan (KKM) pula mengesahkan jumlah terkini ialah 4 kes positif coronavirus di negara ini, semuanya membabitkan warga China di Johor. Sementara itu, 13 negara lain mencatatkan kes coronavirus daripada 1 hingga 8 kes di setiap negara termasuk Thailand dengan lapan kes; Hong Kong (6); Macau (5); Amerika Syarikat (5); Australia (4); Singapura (4); Jepun (4); Korea Selatan (3); Perancis (3); Taiwan (3); Vietnam (2) dan Nepal (1). Bagaimanapun, ketika rencana ini ditulis, tiada kes kematian dicatatkan di luar China.

Rentetan perkembangan semasa, kerajaan menggantung sementara semua kemudahan imigresen, iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa); visa sementara ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan Hubei di kelilingnya.

Sebagai rakyat Malaysia, tindakan terbaru kerajaan pastinya satu langkah proaktif dan boleh mengurangkan kemasukan pelawat dari China. Walaupun, tindakan itu akan memberi impak negatif kepada Tahun Melawat Malaysia 2020, pertimbangan terhadap kesan buruk kepada penduduk lebih diutamakan daripada kesan ekonomi melalui perbelanjaan dan pelancongan.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), virus Wuhan ialah sejenis coronavirus. Ia secara rasmi dinamakan 2019-nCOV sebagai
Loading...
virus baharu yang tidak dikenal pasti oleh manusia sehingga pihak berkuasa China melaporkan kes pertama pada Disember lalu.

Saintis mengenal pasti coronavirus ada dalam pelbagai spesies haiwan dan bukannya virus daripada penyakit manusia. Jarang sekali coronavirus ini berkembang dan menjangkiti manusia. Virus ini digambarkan berbentuk seperti pancang dengan mahkota di permukaan haiwan berkenaan.

Sebenarnya, coronavirus kalipertama dikenal pasti pada 1960-an yang sejak itu, ada tujuh jenis dilapor menjangkiti manusia. Jangkitan coronavirus sering menyebabkan penyakit saluran pernafasan yang ringan dan sederhana seperti selsema biasa dengan gejala seperti sakit tekak, batuk dan sakit kepala.

Dalam kes penularan coronavirus di China, saintis cuba menghubungkan coronavirus baharu ini dengan pasar makanan laut di Wuhan. Namun, mereka belum mengenal pasti jenis haiwan pertama yang menyebabkan penyebaran virus itu.

Pasar yang dikenal pasti itu, menjual pelbagai jenis haiwan liar eksotik termasuk kelawar, badak, tikus buluh, landak dan ular. Menurut pakar, virus mempunyai keupayaan untuk bermutasi atau berubah strukturnya, jadi dengan perubahan itu, virus berkenaan mampu menjangkiti manusia.

Ini bukan luar biasa kerana kes sebegini pernah berlaku. Saintis China juga berpendapat perkara sama, iaitu ia berpunca daripada haiwan dan mampu untuk merebak dari manusia ke manusia. Keadaan pasar dan kandang binatang kotor dengan haiwan ditempatkan dalam kandang berdekatan orang awam, memberi peluang untuk virus terbabit menjangkiti manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan saintis sebelum penularan coronavirus pernah mengaitkan wabak MERS yang bermula daripada unta dan SARS (kelawar).

Penularan coronavirus ini yang disebarkan melalui ‘manusia kepada manusia’ ini perlu disekat dengan secepat mungkin melalui kaedah kuarantin. Kaedah pengawalannya, termasuk menyekat mereka keluar dari kawasan penularan dan menyekat individu luar masuk ke kawasan terjejas.

Pihak berkuasa perlu mewajibkan setiap penduduk di kawasan itu sentiasa berada di rumah atau kawasan yang dikategorikan selamat. Ini bertepatan arahan pihak berkuasa China dan juga memperluas sekatan perjalanan keluar ke atas Wuhan dan tujuh lagi bandar sejak khamis lepas berikutan penularan coronavirus.

Melihat perkembangan semasa wabak ini, semua rakyat di negara ini atau mereka yang ingin keluar negara, terutama ke kawasan terjejas dinasihatkan memberi keutamaan kepada kesihatan atau menangguhkan perjalanan mereka.

Penulis adalah Timbalan Presiden, Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMEDIK).

Loading...
Back To Top