Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Sarapan percuma di sekolah dibiayai swasta

KEMENTERIAN Kewangan tidak menyediakan peruntukan untuk program sarapan percuma, menyebabkan ia hanya dilaksanakan sebagai fasa pertama di 100 buah sekolah terpilih di seluruh negara dengan sokongan pihak swasta, kata sumber di Putrajaya.

Program itu asalnya dicadang dilaksanakan di semua sekolah rendah melibatkan hampir 2.7 juta murid.
Tiga sumber memberitahu , Kementerian Kewangan tidak mempunyai peruntukan untuk menampung program yang dianggar menelan belanja sehingga RM1.67 bilion.

“Kabinet meluluskan PSP (program sarapan percuma) tetapi tiada peruntukan,” kata sumber yang maklum mengenai keputusan itu tetapi tiada mandat untuk bercakap mengenainya.

Program yang sepatutnya bermula di semua sekolah pada 2 Januari lalu bagaimanapun sekarang dilaksanakan di 100 buah sekolah bermula 20 Januari ini. Ia melibatkan 37,000 murid, kebanyakannya dari kalangan keluarga berpendapatan rendah B40.

The Malaysian Insight difahamkan program itu setakat ini menggunakan peruntukan yang diselaraskan daripada peruntukan sedia ada untuk Kementerian Pendidikan.
Seorang lagi sumber memberitahu pihak Kementerian Pendidikan pada masa sama sedang mendapatkan bantuan, sumbangan dan kerjasama daripada pihak swasta untuk menjaya program tersebut.

“Kita dapatkan syarikat swasta untuk taja, diketuai oleh PNB (Permodalan Nasional Berhad),” katanya.

Dimaklumkan oleh satu sumber lain perbincangan antara Kementerian Pendidikan dan PNB sudah bermula sejak September lalu.

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik yang letak jawatan minggu lalu menyebut program sarapan percuma ini sebagai antara punca beliau dilihat “menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan”.

“Dengan mengundur diri saya berharap kerajaan dan kepimpinan Pakatan Harapan akan meneruskan agenda yang telah dirancang bersama,” kata Maszlee semasa mengumumkan peletakan jawatannya Khamis lalu.

Maszlee mula bercakap
Loading...
mengenai cadangan sarapan percuma berkhasiat di sekolah selepas melihat keberkesanan program itu di Jepun, semasa mengiringi lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke negara itu pada November 2018.

Pada 19 Mac 2019, semasa ucaptama di Invest Malaysia, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menggunakan hasil daripada cukai minuman bergula untuk menyediakan sarapan percuma yang berkualiti kepada murid sekolah rendah. Cukai itu berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun lalu.

Pelaksanaan program itu kemudian dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 26 April 2019.

Pada hujung Ogos berikutnya, Maszlee mengumumkan program sarapan percuma akan bermula di seluruh pada sesi persekolahan tahun ini namun kementerian masih mengkaji beberapa aspek termasuk kos.

Sehari selepas pengumuman Maszlee, Dr Mahathir yang ketika itu sedang mengadakan lawatan kerja di Vietnam berkata kerajaan mempunyai peruntukan untuk melaksanakan porgram tersebut.

Pada Oktober 2019, Maszlee memberitahu Dewan Rakyat, program berkenaan dianggarkan menelan belanja antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion setahun melibatkan semua sekolah rendah di seluruh negara.

Program itu bertujuan memberi makanan tambahan bagi keperluan tumbesaran murid, susulan keadaan semasa yang membimbangkan berdasarkan laporan beberapa pihak berkuasa.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 70% pelajar tidak mengambil sarapan sebelum bersekolah sementara kajian Bank Dunia pula menunjukkan kadar kanak-kanak bantut di Malaysia masih tinggi.

Kementerian Pendidikan pada 27 Disember mengumumkan fasa pertama program sarapan percuma diteruskan di 100 sekolah terpilih dengan perbelanjaan RM22 juta.
Loading...
Back To Top