DR Maszlee Malik letak jawatan sebagai menteri pendidikan Khamis lalu selepas menerima sepucuk surat daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menasihatinya supaya berundur dari kabinet.
Dalam surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight, Dr Mahathir meluahkan kekecewaannya terhadap Maszlee yang dianggap sering membuat keputusan yang meletakkan kerajaan “dalam keadaan sukar.”
Dr Mahathir menyebut bagaimana Maszlee mempunyai fikirannya sendiri yang seringkali bertentangan dengan nasihat beliau, malah dalam beberapa keadaan, bercanggah dengan pandangan Jemaah Menteri.
Perdana Menteri menyenaraikan beberapa isu, antaranya, pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan Internet di sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah rendah yang bermula hujung bulan ini.
Pada akhir surat itu 17 perenggan itu, Dr Mahathir menyuarakan pandangan “sudah tiba masanya untuk Yang Berhormat (Maszlee) mengundurkan diri dari kabinet.”
The Malaysian Insight difahamkan surat bertarikh 27 Disember 2019 dihantar ke pejabat Maszlee pada tarikh yang sama. Maszlee ketika itu sedang bercuti bersama keluarga di Amerika Syarikat.
Semasa mengumumkan peletakan jawatan, Maszlee turut menyebut tiga isu yang sama yang disentuh dalam surat berkenaan.
“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma,” katanya, dalam kenyataan yang dibaca pada sidang media di Kementerian Pendidikan, Khamis lalu.
Maszlee sendiri menyebut beliau letak jawatan selepas dinasihati oleh perdana menteri.
“Atas nasihat beliau (Dr Mahathir) yang merupakan bagi saya seorang ayahanda, pemimpin dan seorang negarawan ulung, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang redha walaupun berat, dengan nasihat Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2020,” katanya. Mula sejak isu UIAM
The Malaysian Insight difahamkan pertembungan antara Maszlee dengan Dr Mahathir dan Jemaah Menteri bermula seawal September 2018 susulan isu kedudukan beliau sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelantikan beliau umumnya disambut baik oleh warga UIAM tetapi dikritik oleh pelbagai pihak lain yang menganggapnya bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan mahu membebaskan institusi pendidikan daripada politik.
The Malaysian Insight pernah melaporkan Maszlee dinasihati oleh pimpinan Pakatan Harapan supaya melepaskan jawatan itu tetapi beliau meminta masa untuk mencari penggantinya.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian membuat kenyataan menggesa Maszlee “letak jawatan serta merta” kerana perkara itu sudah diputuskan oleh kabinet.
Pada awal Januari 2019, Maszlee mengesahkan beliau sudah melepaskan jawatan sebagai presiden UIAM.