Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Jawi: Jangan korbankan pendidikan anak-anak untuk kepentingan politik

Oleh Siti Kasim

Pendidikan anak-anak Malaysia bukan tempat pertaruhan atau percaturan politik keagamaan atau etnosentrisme kemelayuan.

Isu tulisan Jawi ini tidak akan wujud sekiranya ia tidak dicipta dan dipaksa masuk ke dalam kurikulum pendidikan nasional oleh elemen-elemen politik dan birokrasi yang mempergunakan sentimen agama atau etnosentrisme Melayu untuk kepentingan tersendiri dan mengaut simpati politik.

Ia tiada kena mengena sama sekali untuk kebaikan mahupun kejayaan pendidikan anak-anak Malaysia, sama ada dari segi pendidikan kebangsaan mahupun venakular.
Tulisan Jawi bukan isu Bahasa Malaysia atau isu yang berkaitan langsung dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan.

Tulisan Jawi adalah isu yang tiada bezanya dengan penulisan Sanskrit atau Latin yang telah pupus dari segi penggunaan, pengetahuan dan pendidikan.

Ia tidak sepatutnya mempunyai tempat sebagai subjek kurikulum wajib walau dari
Loading...
segi apa pun.

Begitu juga penulisan-penulisan berbentuk warisan lama seperti Latin atau Sanskrit, tempat paling sesuai adalah sebagai subjek elektif mengikut keinginan pelajar sendiri.

Kualiti dan standard Pendidikan Kebangsaan Malaysia telah menurun dengan drastik setelah 30 tahun akibat kesan mempolitikkan pendidikan oleh pihak politik yang berkuasa ke atas sistem pendidikan kebangsaan.

Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 daripada Organisasi untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang diterbitkan baru-baru ini, yang menunjukkan kualiti pembelajaran pendidikan Malaysia jatuh jauh di bawah peringkat purata antarabangsa dari segi pembacaan, matematik dan sains, adalah isu yang sepatutnya diperbincangkan.

Tetapi ini langsung tidak dibincangkan sebaliknya Jawi menjadi isu hangat pendidikan di Malaysia.
Apakah prioriti kementerian pendidikan dan kerajaan Malaysia? Keruntuhan sistem pendidikan anak-anak Malaysia atau Jawi?

Sememangnya ini menunjukkan betapa tanggungjawab pendidikan di Malaysia telah diabaikan dan mentaliti pembangunan pembelajaran negara telah dirosakkan atas kepentingan politik.

Pihak Maju menyeru kementerian pendidikan dan Kerajaan Malaysia supaya isu Jawi ini di tutup dengan serta merta.

Ini kerana ianya tidak perlu wujud langsung melainkan untuk kepentingan politik dan dipergunakan secara sinis yang seterusnya memecah-belahkan masyarakat Malaysia dengan menggunakan emosi perkauman yang tiada langsung hasil positif untuk pendidikan anak-anak Malaysia.

Ini bukan isu bertolak ansur dengan mana-mana pihak. Ini adalah isu prioriti Pendidikan Nasional Negara dalam membentuk masyarakat yang berjaya untuk anak-anak kita, yang akan menjadikan Malaysia negara yang maju.

Jawi bukan prioriti dan bukan subjek atau isu yang sepatutnya menjadi perbincangan langsung dalam pembentukan pendidikan negara.

Tiba masanya untuk sistem pendidikan Malaysia diperbincangkan dari segi kepincangan aspek-apek penting seperti pembacaan, sains dan matematik, bukan Jawi.

Siti Kasim adalah pengasas Malaysian Action for Justice and Unity (Maju).
Loading...
Back To Top