PENGALAMAN saya dan keluarga menyusuri laluan Kota Kinabalu ke Semporna di Sabah baru-baru ini cukup memeritkan. Kebiasaannya perjalanan menggunakan bas ekspres hanya membabitkan jarak 565 kilometer (km), namun kali ini berubah lebih jauh sehingga 770km.
Pertambahan jarak sehingga 205km berpunca kejadian tanah runtuh di Kilometer (KM) 96.7 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, menyebabkan laluan ke Semporna itu terputus. Akibatnya, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam berlarutan sehingga lebih 17 jam.
Hari itu, kami bertolak sekitar jam 7.30 malam dan mengikut jadual akan sampai di Semporna antara 3 pagi hingga 4 pagi keesokan harinya. Namun, kami hanya tiba di daerah terkenal dengan destinasi percutian terkenal dunia itu pada jam 12.40 tengah hari.
Melihatkan keperitan yang terpaksa dilalui itu, mendedahkan betapa perlunya pembinaan semula Lebuhraya Pan Borneo disegerakan.
Jalan terputus di KM96.7 Jalan Kundasang Ranau, berpunca kejadian tanah runtuh menyebabkan pengguna menggunakan laluan alternatif di utara Sabah ke Pantai Timur negeri itu, pada Disember lalu. - Ihsan Facebook Info Lalu Lintas Sabah
Ia selari dengan apa yang diperkatakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau, pada Oktober lalu, yang mahu pembinaan lebuh raya yang tertangguh hampir setahun itu segera dimulakan semula, demi kepentingan rakyat yang mengimpikan perhubungan jalan raya moden.
Sebelum ini, media melaporkan pembinaan fasa satu sejauh 706km lebuh raya itu setakat 21 September lalu - selepas penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) - menyaksikan hanya 12 daripada 35 pakej diberikan kepada kontraktor.
Berbalik kepada keperitan dialami saya dan keluarga, ia bukan kali pertama. Sebaliknya ia ibarat ulangan setiap kali musim hujan menyebabkan ratusan kenderaan dalam laluan menghubungkan Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah terkandas.
Ketika laluan terputus tempoh hari, sekumpulan 10 pengendali bas ekspres terpaksa menggunakan laluan alternatif menuju utara Sabah, sebelum menghala Pantai Timur.
Dari Kundasang, bas ekspres kami naiki berpatah balik ke Jalan Pintas Ranau yang menghubungkan Ranau dengan Kota Belud seterusnya dari Kota Belud ke Kota Marudu, Tandek, Pitas, Sapi Nangoh, Kanibongan, Sugut, Labuk, Telupid, Beluran dan tiba ke check point Batu 32, Sandakan pada jam 7.40 pagi.
Mujur tiada jalan raya jerlus yang kebiasaannya berlaku di sekitar Kampung Manggaris, Kota Marudu atau banjir di Jalan Pintas Kudat di Kampung Sembirai, Kota Belud. Kalau kejadian ini berlaku pastinya perjalanan mengambil masa sehingga tiga hari.
Sepanjang perjalanan itu, kelihatan masih banyak laluan batu kerikil dan berlopak, selain jalan kampung menyebabkan pemandu perlu berhati-hati. Perjalanan seterusnya ke Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan berakhir di Semporna.
Di sebalik kepenatan menempuh perjalanan jauh, banyak sebenarnya lokasi percutian menarik sepanjang jalan yang dikategorikan ‘permata tersembunyi’ yang tidak rugi untuk dikunjungi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).
Ini termasuk Nohutu Eco-Tourism di Kampung Melangkap, Kota Belud dengan pengunjung berpeluang untuk merasai pengalaman bermalam di pondok yang diperbuat daripada buluh di tebing sungai berlatarkan Gunung Kinabalu.
Di Pulau Mantanani pula pengunjung berpeluang berenang bersama dugong, selain di destinasi ini juga ada plankton berwarna biru yang mengeluarkan cahaya kebiruan apabila terkena pancaran cahaya bulan.
Di Jeti Wawasan Kampung Nanamun, pengunjung berpeluang melihat keindahan kampung nelayan tradisional masyarakat Iranun yang terkenal dengan kraf tangan unik serta pengunjung boleh menyertai aktiviti river cruise yang disajikan dengan panorama matahari terbenam, selain spesies monyet berhidung mancung dikenali monyet bangkatan atau proboscis monkey dan kelip-kelip.
Di Pitas pula ada timbunan batu karang yang timbul secara semula jadi atau Floating Coral Bar, selain legenda Kapal Nakhoda Supirak, iaitu pulau batu menyerupai sebuah kapal dikatakan ada objek seperti manusia, tali, meja dan lain-lain yang bertukar menjadi batu.
Pemandangan sekitar perairan Semporna dari puncak bukit di Pulau Bohaydulang yang kini menjadi daya tarikan terbaharu Semporna, sekaligus antara destinasi pelancongan sesuai dikunjungi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. - NSTP/Mohd Azrone Sarabatin
Semporna yang sememangnya popular sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, sebenarnya mempunyai destinasi menakjubkan yang belum dikenali, antaranya Pulau Bohey Dulang.
Saya dan keluarga sempat berkunjung ke destinasi berkenaan dan tidak melepaskan peluang mendaki puncak bukit setinggi 700 meter di pulau itu untuk menikmati panorama indah sekitar perairan Semporna dan Kunak.
Begitulah, di sebalik jalan raya yang serba kekurangan dan menuntut pembinaan semula Lebuhraya Pan Borneo disegerakan, dapat juga menikmati pemandangan indah yang sesuai dikunjungi sempena TMM2020.