Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Agong berkenan terima menghadap PM bagi Mesyuarat Pra-Kabinet sulung 2020

Loading...
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi Mesyuarat Pra-Kabinet mingguan sulung tahun ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan, hari ini, berkata mesyuarat berlangsung selama 55 minit di Istana Melawati, Putrajaya, mulai jam 8 pagi.

“Mesyuarat hari ini adalah pertemuan sulung untuk tahun ini antara Al-Sultan Abdullah dengan Tun Dr Mahathir. Kedua-dua pemimpin kelihatan mesra dan penuh teliti ketika mesyuarat berlangsung hari ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Mesyuarat Pra-Kabinet ialah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri.

“Pada tahun lalu, sejumlah 32 kali Mesyuarat Pra-Kabinet berlangsung antara Seri Paduka dengan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat tetap dijalankan jika Perdana Menteri tidak dapat menghadirinya dengan Dr Mahathir diwakili timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – BERNAMA
Loading...
Back To Top