Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

PAS puji amalan demokrasi Dr Mahathir

Loading...
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

MARANG: PAS memuji kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan mengamalkan demokrasi sihat dan terbuka apabila menerima pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) bertemunya.

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata bukanlah suatu kesalahan untuk pembangkang mengambil peluang bertemu Perdana Menteri bagi menyuarakan pandangan secara berdepan.

Beliau berkata, walaupun beberapa negeri diperintah oleh parti berbeza dengan kerajaan Persekutuan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH), konsep federalisme yang diamalkan memberi peluang pembangkang mengutarakan pandangan.

“Yang pertamanya, ia adalah amalan demokrasi sihat dan terbuka oleh Perdana Menteri apabila beliau boleh berjumpa pembangkang. Itu satu proses demokrasi yang beliau suburkan di negara yang mengamalkan demokrasi.

“Itu bukan perkara luar biasa (pertemuan Perdana Menteri dengan pembangkang). Cuma mereka yang ada agenda lain sahaja yang anggap itu di luar kebiasaan.

“Apatah lagi kita tahu, pentadbiran kerajaan Persekutuan dan empat kerajaan negeri diperintah parti berbeza iaitu Barisan Nasional (BN) dan PAS, jadi apa salahnya kita berjumpa dengan Perdana Menteri kerana kita berkonsepkan federalisme.

“Kita bercakap mengenai negeri yang kita perintah dan dalam masa sama kita berhak memberi pandangan pada kerajaan, bukan sahaja di Parlimen, tetapi juga secara berdepan,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan sekumpulan wakil rakyat pembangkang datang bertemunya dan menyatakan sokongan untuk beliau kekal sebagai Perdana Menteri, pada Selasa lalu.

Dr Mahathir berkata, pertemuan dengan wakil rakyat daripada PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu adalah perjumpaan biasa kerana pembangkang sebelum ini, termasuk Hadi sering kali menyatakan sokongan terhadapnya.

Dalam pada itu Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS kekal dengan pendiriannya menyokong kepimpinan Dr Mahathir hingga akhir penggal ini dan menolak peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum tamat penggal ini.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang belum stabil, peralihan kuasa dalam tempoh terdekat bukan satu keputusan bijak, apatah lagi Dr Mahathir mempunyai banyak jaringan antarabangsa yang boleh membantu beliau memantapkan ekonomi negara.

“Masih ramai rakyat yang menghadapi masalah antaranya kos sara hidup, masalah gaji yang tidak mencapai tahap keperluan, masalah inflasi, selain masalah pelaburan asing yang tidak menggalakkan.

“Sebab itu kita perlukan Dr Mahathir yang mempunyai ramai contact (hubungan) berbanding orang lain yang baru nak pegang, nak tuntut jawatan Perdana Menteri. Beliau (Dr Mahahtir) sudah lama, ramai kenalan di luar negara dan banyak pengalaman ketika menghadapi krisis ekonomi pada 1990-an dan ini sangat baik,” katanya.

Mengulas lanjut Hadi berkata, menukar Perdana Menteri bukan seperti menukar kasut yang boleh diubah begitu sahaja, sebaliknya perlu melalui proses yang betul dan mampu melaksanakan tugas dengan baik.

“Biarlah Dr Mahathir laksanakan tugas beliau dahulu sebagai Perdana Menteri. Ini beliau belum habis tugas dah (sudah) nak berebut jawatan itu, cepat sangat hendak kuasa,” katanya.
Loading...
Back To Top