Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

PH tidak komited mansuh akta drakonian - Bersih 2.0

Loading...
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara selama setahun kepada pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan 1948.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 mendakwa, Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menghapuskan Akta Hasutan dan menegakkan kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Akta Hasutan adalah satu akta yang drakonian, tinggalan penjajah, bertujuan mengekang kebebasan bersuara dan sering menjadi alat pemerintah untuk membungkam suara rakyat," katanya.

Gabungan itu mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa yang menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Bersih 2.0 berkata, sebelum ini, Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam pernah ditahan serta disiasat di bawah Akta Hasutan, dan Ustaz Wan Ji, 37 tahun, menjadi "mangsa terbaru" akta tersebut.

"PH wajib untuk melihat semula janji manifesto mereka iaitu Janji 27 yang menyatakan 'Ada di antara undang-undang ini yang diwarisi sejak zaman penjajah British lagi, tanpa dipinda untuk menjadikannya lebih adil untuk rakyat sebuah negara merdeka' dan kemudiannya berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.

"Sudah tiba masanya PH mengotakan janji untuk menghapuskan undang-undang zalim dan lapuk ini serta memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara," tambahnya.
Loading...
Back To Top