Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Penguat kuasa proaktif mampu kawal pencemaran kilang

Loading...
Oleh Norhafzan Jaafar

ISU pencemaran alam sekitar sekali lagi mendapat perhatian di negara ini kerana ia berlaku dalam tempoh hanya tiga bulan di daerah sama, selepas insiden Sungai Kim Kim yang mencetuskan suasana panik di selatan tanah air, Mac lalu.

Pencemaran udara terkini di Pasir Gudang mengakibatkan ramai mangsa, termasuk pelajar sesak nafas dan muntah turut menimbulkan persoalan, kenapa perlunya kejadian hampir sama berulang?

Tidak kurang yang turut mempersoalkan adakah Pasir Gudang yang terkenal sebagai kawasan perindustrian di Johor sejak lebih 30 tahun lalu sudah tidak lagi selamat sebagai kawasan kediaman akibat pertumbuhan industri yang semakin pesat?

Selain Pasir Gudang, BH turut menyiarkan laporan eksklusif sekurang-kurangnya 20 zon perindustrian di negara ini turut dikesan boleh menjadi ‘bom jangka’ kerana jaraknya semakin hampir dengan kawasan penduduk antara 300 meter hingga 500 meter, mengundang pelbagai risiko pencemaran, termasuk pelepasan gas beracun.

Jika benar seperti dilaporkan bahawa zon penampan atau jarak selamat antara kawasan penempatan penduduk dengan kebanyakan zon industri di negara ini didapati tidak lagi selamat, perlu ada pelan jangka panjang di semua kawasan terbabit dan bukan hanya melihat kepada Pasir Gudang.

Itu sepatutnya langkah perlu diambil pihak berkuasa selepas kejadian pertama pencemaran udara di Sungai Kim Kim yang menyaksikan ribuan penduduk terjejas dengan 12 individu dimasukkan ke ICU.

Malangnya, Sungai Kim Kim belum cukup membuka mata semua pihak bahawa zon industri di negara ini semakin berisiko untuk mengalami nasib sama jika tiada langkah pemantauan berterusan di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Juliana Jalaludin, berkata susulan insiden Sungai Kim Kim seharusnya semua agensi penguat kuasa perlu lebih peka melakukan pemantauan berterusan dan berkala di kawasan perindustrian di seluruh negara.

Negara bukan tidak ada kepakaran atau teknologi untuk melakukan perkara itu, tetapi agensi bertanggungjawab bagaikan tidak peka dengan pertambahan kilang di kebanyakan kawasan industri di negara ini yang pastinya ada di antaranya menggunakan bahan kimia tertentu yang tidak didaftarkan atau diisytiharkan.

“Seharusnya sejak awal lagi perlu ada satu sistem pangkalan data yang mendaftar dan mengisytiharkan semua jenis bahan kimia yang digunakan di kilang untuk memudahkan kita mengesan dan mengambil tindakan lebih awal, selain mengelak risiko pencemaran seperti ini.

“Semua kawasan industri sememangnya berisiko terhadap sebarang bentuk pencemaran, malangnya tidak ada langkah pencegahan dibuat walaupun ada cadangan yang pernah dikemukakan sebelum ini,” katanya.

Masyarakat juga berhak mengetahui bahaya atau aktiviti yang berlaku di sekitar mereka dengan mendapatkan maklumat daripada sumber sah, sekali gus membantu mengelak kekeliruan maklumat jika berlaku kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, perlu ada satu sistem komunikasi risiko untuk membolehkan masyarakat awam mendapatkan maklumat dari sumber kerajaan supaya mereka dapat mengambil tindakan atau langkah perlu untuk mengelak diri daripada berada di persekitaran berisiko, termasuk keperluan penggunaan alat perlindungan diri bersesuaian sebagai langkah pencegahan.

Melihatkan kepesatan pertumbuhan kilang di kawasan perindustrian di negara ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya lebih menumpukan kepada penguatkuasaan dalam usaha mengawal pencemaran dihasilkan kilang.

Ahli Kimia Kesihatan Persekitaran dan Alam Sekitar, Abdul Qaiyum Musa, berkata pemantauan lebih kerap perlu dilakukan, terutama terhadap industri berat, selain perlu ada tindakan proaktif terhadap laporan berkaitan pencemaran dengan melakukan pemeriksaan susulan.

“Setiap kilang sepatutnya perlu menghantar laporan kilang kepada JAS, tetapi berapa kerap pula jabatan berkenaan membuat semakan terhadap laporan diserahkan.

“Seharusnya pihak JAS mempunyai masa mencukupi membuat semakan terhadap laporan yang biasanya akan diserahkan kilang secara bulanan atau suku tahunan dan seterusnya membolehkan pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan terhadap kilang jika didapati melanggar peraturan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, cadangan untuk menutup kilang dilihat bukan jalan terbaik memandangkan kebanyakan industri mempunyai potensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sebaliknya usaha mengawal pencemaran yang dihasilkan kilang perlu diberikan tumpuan bagi mengelak sebarang risiko tidak diingini bukan saja kepada alam sekitar malahan juga penduduk setempat.

Mungkin dalam isu ini, kita perlu menjadikan kes Lynas sebagai rujukan. Walaupun sebelum ini syarikat itu mendapat kritikan hebat berikutan cara pengurusan sisa buangan di Gebeng, Pahang, namun kerajaan akhirnya membenarkan mereka meneruskan operasi dengan syarat perlu mematuhi pengurusan sisa pepejal radioaktif dan bahan buangan terjadual seperti ditetapkan.
Loading...
Back To Top