Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Peneroka Tinggalkan Majlis Ketika Tun Berucap?.. Betulke?

Loading...

Tindakan peneroka berjalan keluar dan meninggalkan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 Pahang semalam ketika Perdana Menteri sedang berucap bukan kerana mereka memboikot program itu.

Ketua Peneroka Kebangsaan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, dakwaan mengatakan peneroka tidak suka dengan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak benar.

Menurutnya, tindakan peneroka bangun daripada tempat duduk masing-masing kemungkinan untuk mengambil makanan yang disediakan penganjur.

"Ketika Dr Mahathir berucap sudah jam 11 (pagi) lebih, jadi ada antara peneroka yang mungkin lapar kerana telah menunggu sejak pagi, jadi mereka melihat ada makanan yang tersedia untuk dimakan maka mereka pergi mendapatkannya.

"Bilangan yang beransur juga tidaklah ramai kerana mungkin dalam setengah peratus sahaja berbanding lebih 14,000 peneroka yang hadir dan setia mendengar ucapan Dr Mahathir," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Sulong Jamil berkata, beliau yang berada di atas pentas dapat melihat memang ada yang beransur ke belakang dan mungkin mahu mendapatkan makanan kerana ada yang sudah berbaris di tempat makanan disediakan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu video yang tular dengan memaparkan sebilangan pengunjung seperti meninggalkan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 Pahang semalam ketika Dr Mahathir sedang berucap yang kelihatan seperti mereka tidak suka dengan ucapan pemimpin tersebut.

Video yang tular sejak semalam itu turut dikongsikan beberapa pemimpin pembangkang antaranya Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo.

Ciapan yang dikongsi Zahida mengenai video yang tular tersebut. Gambar kanan: Ciapan di Twitter Wan Mohamad Azri yang turut memberi komen mengenai video tersebut.

Berdasarkan video itu, kelihatan hadirin berjalan meninggalkan majlis di bahagian ruang kiri dan kanan khemah yang menempatkan peneroka Felda.

Kelihatan juga pada saat ke-27 ditunjukkan keadaan kerusi kosong ketika Dr Mahathir berucap.

Menerusi ciapan Zahida, dia berkongsi video tersebut dan membuat hantaran bahawa Peneroka Felda Merana!

“Ini adalah reaksi mereka terhadap kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang terbukti gagal menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan peneroka.

“Jadi apa lagi yang boleh diharapkan dari pemerintah hari ini? Eloklah PH jadi #KerajaanSepenggal sahaja. Setuju?", katanya.

Sementara dalam ciapan Wan Muhammad Azri, beliau juga melampirkan video sama.

“Apabila rakyat sudah benci, tidak ada cara lagi untuk membeli hati dan jiwa mereka. Semoga insiden ini membuka mata Tun Mahathir untuk menerima hakikat yang kerajaan PH ditolak rakyat khususnya orang Melayu.

“Bubarlah Parlimen dan biar rakyat buat pilihan untuk masa depan mereka,” katanya.

Artikel penuh sila baca di Sinar Harian
Loading...
Back To Top