Loading...
oleh: IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
1. Pencemaran udara akibat bahan kimia yang berulang buat kali ketiga melanda Pasir Gudang menuntut tindakan bersepadu, tegas dan segera untuk menanganinya. Penglibatan kepakaran luar perlu diundang dalam rangka kerjasama bagi menamatkan sepenuhnya tragedi yang sedang berlaku ketika ini.
2. Suruhanjaya siasatan bebas juga perlu ditubuhkan supaya forensik ke atas kedudukan semua pembangunan terutama kilang kimia dan operasinya dapat diadakan. Seterusnya kertas putih dibentangkan bersama syor-syor penyelesaian untuk tindakan pihak bertanggungjawab.
3. Pada ketika ini, kerajaan mesti mengeluarkan serta-merta perintah menghentikan operasi sementara kepada semua kilang terlibat sehingga langkah keselamatan lebih terjamin disiapkan. Kelemahan bertindak hanya menimbulkan rasa curiga dan syak bahawa pihak berkepentingan sedang dilindungi.
4. Malangnya penduduk menjadi mangsa hingga terdedah kepada ancaman nyawa. Namun aspek pengurusan risiko, penguatkuasaan, komitmen kebertanggungjawaban dan solusi dilihat menjadi janji yang dimungkiri. Malah, seluruh malapetaka berulang di peringkat ini cukup untuk kerajaan diberi markah gagal!
5. Melihat tamak halobanya kapitalis yang bersekongkol orang politik dalam meraih keuntungan sebagaimana berlaku di semua celahan dunia, kami sangat tertanya-tanya. Apakah semua polemik ini sengaja dibiarkan sebagai ganti peperangan untuk membunuh dan mengusir penduduk?
6. Pemuda PAS Malaysia bertarikh 17 Julai 2019 telah menghantar surat rasmi kepada YB Yeo Bee Yin selaku Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mengadakan pertemuan bagi mengemukakan cadangan penyelesaian. Ini membuktikan kesediaan kami bekerjasama dengan pihak Menteri bagi memastikan mangsa gelojoh kapitalis ini dapat dibela.
7. Sehubungan itu kami juga menyokong penuh tindakan mangsa, penduduk dan banyak NGO membuat laporan polis ke atas pihak-pihak berkaitan agar dalangnya dapat diadili. Pengajaran atau hukuman berat mestilah dilaksanakan jika motif kami sebutkan itu wujud disebalik semua masalah ini.
"Islam Memimpin Perpaduan"
"Demi Islam"
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia
Loading...