Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

“Pemenjaraan Ke Atas Hasutan Biadap Terhadap Sultan Dan Institusi Diraja Adalah Satu Kewajaran” - LUHAM

Loading...

oleh: WAN ROHIMI BIN WAN DAUD

1. Semalam, 9.7.2019 – YA Datuk Abdul Halim Aman, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, telah menolak rayuan Wan Ji Wan Hussain terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 9.4.2018, dimana dalam menyampaikan keputusan Mahkamah, YA Hakim antara lainnya dipetik sebagai berkata: “Penerbitan kata-kata tersebut adalah satu penghinaan kepada DYMM Sultan Selangor. Apa yang diterbitkan bukan sahaja bersifat menghasut, bahkan ia cuba menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja. Ini adalah satu tindakan yang melampaui batas, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja”. Lantaran dari itu juga Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan silang Pendakwaraya dari 9 bulan penjara kepada 1 tahun penjara.

2. Wan Ji telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10.9.2014 di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, disebabkan tindakannya yang menerbitkan status Facebook miliknya pada 5.11.2012 dengan kata-kata yang bukan sahaja bersifat menghasut, bahkan sangat biadap, berbentuk penghinaan yang sangat serius serta mirip usaha menanam kebencian terhadap Sultan Selangor dan Institusi DiRaja. Antara lainnya, Wan Ji menggelarkan DYMM Sultan Selangor sebagai ”Syaitan tak baca hadis nabi”, “bahana bodoh agama nak jadi ketua agama”, “perasan bagus tapi bodoh agama”, “buang je sultan2 ni, perabih duit rakyat”, “si syaitan ni buat projek pembodohan”, “bila orang bodoh, dia akan berkuasa”, dan “nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi sultan”.

3. Menelusuri fakta kes, sifat penerbitan menghasut, pemilihan kosa kata yang sangat biadap terhadap DYMM Sultan Selangor dan Institusi DiRaja, LUHAM berpandangan bahawa hukuman penjara 1 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah sangat bersesuaian dan munasabah, yang diharap berupaya menyampaikan mesej yang tepat kepada masyarakat awam. Hal ini kerana sejurus selepas PRU14 dan selepas Kerajaan baru mengambil alih pemerintahan negara, terlalu banyak penerbitan-penerbitan yang bersifat menghasut dan menghina Sultan-Sultan dan Institusi DiRaja berlegar di ruang maya, tanpa diambil apa-apa tindakan penguatkuasaan yang wajar dan tangkas.

4. Malangnya, sejurus selepas itu, Presiden PKR DS Anwar Ibrahim tangkas mengkritik keputusan Hakim dengan melabelkan sebagai “sangat keras”. Bahkan tengahari ini, DS Anwar dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata “saya akan merujuk kepada perkara ini dan akan berjumpa Perdana Menteri”. Tindakan ini bukan sahaja berunsur campurtangan ke atas badan kehakiman, bahkan memperlihatkan sikap sambalewa Presiden PKR itu dalam mempertahankan maruah Sultan dan Institusi DiRaja.

5. Ia juga nyata sekali memberikan lampu hijau kepada pendirian rasmi PKR, Pemuda Pakatan Harapan serta pelbagai NGO yang mesra Pakatan Harapan untuk melancarkan “Solidariti Bersama Wan Ji”.

6. Namun disebalik keghairahan kelompok ini termasuk DS Anwar, dalam bersolidariti dan mempertahankan Wan Ji, mereka kelihatan cuba memperkecilkan bahkan langsung tidak mempedulikan kesan kepada penerbitan menghasut dan biadap terhadap DYMM Sultan Selangor serta Institusi DiRaja. Label-label “syaitan”, “bodoh agama nak jadi ketua agama”, “perabih duit rakyat” dan pelbagai perkataan biadap yang lain langsung tidak mendapat pertimbangan yang wajar oleh kelompok ini. Darjah kebiadapan Wan Ji digelapkan semata-mata untuk mendesak agar Akta Hasutan dimansuhkan in toto.

7. LUHAM berpandangan bahawa jika pun Akta Hasutan ingin dipinda dan diperkemaskan, namun sebarang bentuk hasutan, penghinaan dan tindakan biadap terhadap mana-mana Sultan atau Raja-Raja Melayu, Agama, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan lain-lain tonggak kenegaraan yang menjadi rukun keharmonian negara, hendaklah kekal menjadi kesalahan yang dikanunkan.

8. Justeru jenayah hasutan yang dilakukan oleh Wan Ji, dalam konteks intipati penerbitan yang bersifat hasutan dan biadap tersebut, hendaklah dilihat berdasarkan konteksnya yang sebenar. Ia tidak boleh disamakan dengan kes-kes hasutan lain yang pernah dijatuhkan hukuman denda. Justeru jangan nanti hukuman ke atas Wan Ji hanya dijadikan alasan untuk merungkaikan prinsip Kesetiaan Kepada Raja yang menjadi tonggak Rukun Negara.

9. Hakikatnya Wan Ji terpaksa merengkok di penjara bukan kerana isu prinsip dan dasar yang diperjuangkan, tetapi kerana kebiadapan tangannya sendiri yang gemar memilih denai diluar kesusilaan akal yang waras, dalam menegur dan mengkritik sasaran yang diplilih.

"Islam Memimpin Perpaduan"

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD ialah Pengerusi, Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat
Loading...
Back To Top