Kemuncaknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas Presiden.

Namun begitu, ribut dalam UMNO ini kemudiannya sedikit reda di bawah kepimpinan baharu Mohamad atau dikenali dengan Tok Mat dan hadirnya juga di PRK Cameron Highlands mulai mengubah rentak politik UMNO.
Dengan bantuan Pas, jentera pembangkang kelihatan bersungguh-sungguh dan penuh semangat dalam usaha mempertahankan kerusi yang sebelumnya disandang oleh MIC mewakili Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu langkah BN meletakkan calon daripada keturunan Orang Asli yang beragama Islam dilihat sebagai satu strategi yang bijak. Ini kerana ia dilihat mewakili demografi kawasan Parlimen Cameron Highlands yang mana orang Melayu dan Orang Asli mewakili kira-kira 55 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi.

Pendekatan meletakkan calon Orang Asli beragama Islam turut memberi kesan psikologi yang bukan sedikit terhadap segmen pengundi bumiputera yang berjaya mencetuskan gelombang nasionalisme Melayu Islam di tanah tinggi tersebut.

Meskipun banyak penganalisis mengatakan keputusan PRK Cameron Highlands tidak membawa impak yang signifikan terhadap pola pengundian, hanya sekadar kejayaan UMNO-Pas memobilisasikan peratus keluar mengundi yang tinggi bagi segmen pengundi bumiputera, tetapi PRK ini sebenarnya satu kejayaan bagi UMNO mensimulasikan penyatuan politik bersama Pas bagi mewujudkan satu gerakan bersepadu Melayu Islam untuk menentang PH secara satu lawan satu pada masa hadapan.

Dengan strategi mengukuhkan sokongan Melayu melalui isu-isu kaum dan agama, perjuangan UMNO kini mendapat sokongan padu Pas dan menjelang PRK Semenyih yang akan dijalankan pada 2 Mac akan datang, parti Islam itu awal-awal lagi sudah menyatakan kesediaan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding.

Persoalannya apakah UMNO mampu mengulangi sekali lagi kejayaan seperti yang berlaku dalam PRK Cameron Highlands? Sebagai ahli akademik yang mengkaji trend dan tingkah laku pengundi dalam politik pilihan raya, penulis tidak menganggap usaha UMNO ini sesuatu yang mudah.

Landskap dan demografi politik Semenyih berbeza sama sekali dengan Cameron Highlands. Klasifikasi lokasi dan demografi Semenyih sebagai kawasan bandar dan semi bandar sememangnya menjadi kubu kuat PH berdasarkan trend semasa politik alaf baharu Malaysia.

Bagaimanapun, beberapa isu tertangguh dan beberapa janji kerajaan PH yang masih belum ditunaikan walaupun kerajaan PH telah menunjukkan komitmen dan