Loading...
BEBERAPA minggu lalu saya terbaca berita mengenai sistem penceraian melalui notifikasi sistem pesanan ringkas (SMS) di negara timur tengah.
Menurut laporan berita itu lagi, sebelum ini, suami di negara tersebut boleh menceraikan isteri tanpa pengetahuan mereka.
Dengan wujudnya peraturan baharu ini, selain notifikasi SMS, para wanita di sana kini boleh melayari laman sesawang kementerian untuk memeriksa status mereka dan seterusnya mendapatkan salinan surat cerai yang sah, lantas hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes.
Kemajuan media dalam membantu manusia untuk menyampaikan dan menyebarkan maklumat sememangnya amat baik dan kita tidak boleh menolak realiti hari ini bahawa media baru adalah fakta dalam kehidupan.
Bagaimanapun, komunikasi melalui aplikasi media baru mempunyai batas tertentu dan ada masanya maksud dalam bentuk teks, audio atau visual tidak sampai dan mewujudkan salah faham.
Kelebihan komunikasi bersemuka
Komunikasi bersemuka adalah pilihan terbaik kerana mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri yang tidak boleh diabaikan.
Masalah atau konflik dalam perhubungan manusia sebaiknya dibincangkan melalui pendekatan komunikasi bersemuka dan penggunaan SMS atau media lain sepatutnya dijadikan pilihan terakhir.
Dalam komunikasi, mesej bukan sahaja difahami melalui apa yang kita ucapkan, akan tetapi mesej kita difahami dengan cara bagaimana ia diucapkan.
Bahasa tubuh, ekspresi muka dan tona suara mempengaruhi maksud mesej yang ingin kita sampaikan.
Perlu kita fahami bahawa komunikasi bersemuka adalah kebolehan yang perlu dipelajari, dilatih dan dipraktikkan dari kecil sehingga dewasa.
Hanya kerana kita boleh bercakap, belum tentu kita boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan baik.
Dalam keadaan tertentu seperti bertemu dengan majikan baru atau ibu bapa bakal suami atau isteri kita, komunikasi bersemuka memerlukan keyakinan dan keberanian diri yang tinggi untuk seseorang itu berasa selesa melakukannya.
Suka atau tidak, kewujudan media sosial tidak mampu mengatasi amalan komunikasi bersemuka dalam urusan tertentu seperti temuduga kerja, alam pekerjaan, perkahwinan dan persahabatan.
Bertemu secara fizikal
Contohnya, dalam temuduga kerja, walaupun sesetengah majikan memerlukan calon menyediakan resume dan video pendek tentang diri mereka, malah ada juga yang meminta akaun media sosial calon, pendekatan hadir ke temuduga kerja untuk bertemu calon secara fizikal masih menjadi pilihan utama setiap majikan.
Contoh kedua, di alam pekerjaan pula, umum ketahui wujud pilihan untuk mengadakan mesyuarat melalui sidang video, tapi masih ramai yang memilih mesyuarat bersemuka.
Ini kerana, komunikasi bersemuka melalui mesyuarat bulanan atau mingguan mampu menjadi platfom untuk setiap jabatan membentang pencapaian dan membincangkan isu-isu yang dihadapi.
Sifat dua-hala dalam komunikasi bersemuka memudahkan ketua jabatan membuat keputusan penting demi kelestarian syarikat.
Contoh ketiga, dalam alam perkahwinan, komunikasi bersemuka adalah kunci kebahagiaan. Malah, komunikasi bersemuka merupakan aktiviti utama dari awal perkenalan dengan ahli keluarga isteri atau suami hingga ke fasa-fasa perkahwinan seterusnya.
Perkahwinan dan komunikasi bersemuka yang sihat dan positif adalah kunci kebahagian rumahtangga.
Contoh keempat, komunikasi bersemuka dalam persabahatan mampu membentuk keakraban yang kukuh dan mendalam.
Umpamanya ketika merancang aktiviti seperti beriadah dan rekreasi, komunikasi bersemuka membolehkan pelbagai aktiviti disusun dengan penuh kepercayaan dan keyakinan serta mengurangkan sebarang bentuk salah faham dari berlaku.
Secara kesimpulannya, dari contoh-contoh yang diberi, jelas bahawa amalan komunikasi bersemuka masih menjadi pilihan utama dalam pelbagai aspek kehidupan manusia.
Tanpa komunikasi bersemuka, banyak perkara seperti yang dibincangkan tadi tidak dapat kita lakukan.
Walaupun media baru menjadi medium penting dalam dunia berkomunikasi hari ini, komunikasi bersemuka tetap mempunyai kepentingan tersendiri dalam kehidupan manusia.
Membanyakkan aktiviti dan pendedahan kepada komunikasi bersemuka terutama dalam kalangan golongan belia dengan mengurangkan waktu penggunaan gajet dan media baru mampu membina komunikasi yang sihat dan ikhlas.
Ibu bapa, kerajaan, badan sukarelawan dan aktivis boleh mula memainkan peranan mereka dalam menjadikan aktiviti komunikasi bersemuka sebagai sesuatu yang menarik.
Jika tidak masyarakat kita akan selamanya hanyut dengan gajet dan dunia maya seterusnya menghakis kemampuan untuk komunikasi bersemuka di kalangan generasi akan datang.
* Penulis adalah penyelidik dalam ilmu Perangsaraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (UiTM).
Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kepentingan-komunikasi-bersemuka-196108
Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kepentingan-komunikasi-bersemuka-196108
Loading...