Walaupun negara tersebut menguatkuasa undang-undang antimerokok di tempat awam seperti di kompleks beli-belah dan restoran tetapi mereka juga `mesra perokok’. Tempat merokok banyak disediakan dan berjarak beberapa meter sahaja antara satu sama lain. Oleh kerana ramai sangat merokok di kawasan yang disediakan, zon tidak dibenarkan merokok pun sudah bertukar menjadi seperti kawasan boleh merokok. Kepulan asap terlalu banyak berkumpul dan tak sempat larut di udara, kawasan bebas merokok turut diselubungi asap dari tempat merokok tadi. 

Di Malaysia sejak 1 Januari lalu, beberapa lagi tempat diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk di restoran. Tindakan itu sangat tepat walaupun agak terlewat. Desakan daripada orang awam bukan perokok sudah lama tetapi baru tahun ini dilaksanakan. Kawasan awam seperti restoran mesti bebas daripada kekotoran dan pencemaran terutamanya pencemaran asap rokok.
Berikutan peraturan itu, para pelanggan tidak boleh lagi menghisap rokok, vape atau shisha ketika berada di meja makan masing-masing. Suasana berkabut dengan bau busuk asap rokok yang memenuhi setiap sudut dan ruang restoran mamak sudah tidak ada lagi. Kalau mahu merokok mereka perlu keluar dan berada pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter radius dari kawasan restoran. Merokoklah puas-puas di situ. 

Pada hari pertama larangan, ramai si perokok meradang dengan peraturan tersebut. Mereka marah-marah dalam Facebook, Instagram dan Twitter. Peraturan baharu itu tidak adil dakwa mereka. 

Betullah kalau selama ini mereka bebas membakar berkotak-kotak rokok selama beberapa jam melepak di situ , sekarang tidak boleh lagi. Mahu merokok sila bangun dan pergi jauh-jauh. Ada juga yang keras kepala dan ingkar, buat-buat `tak perasan’ dengan peraturan tersebut. Selamba sahaja mereka merokok walaupun di dinding restoran terpampang papan tanda larangan merokok dan jumlah denda yang boleh dikenakan. Khabarnya ada kes pekerja restoran yang merasa `pelempang sulung’ pelanggan yang marah apabila ditegur jangan merokok. 

Tuan punya dan pengusaha restoran seperti dijangka memang tidak bersetuju dengan syarat-syarat baharu ini. Mereka mendakwa langkah sedemikian akan menjejaskan perniagaan kerana 40 peratus pelanggan adalah dalam kalangan perokok. Tauke-tauke restoran itu risau para pelanggan tidak lagi duduk lama-lama selepas ini. Satu lagi alasan yang sukar diterima. 

Kepada pengusaha restoran yang berpandangan sedemikian, perlu diingat, para pelanggan memilih restoran untuk menjamu selera berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya ada pilihan menu yang sedap, harga berpatutan, bersih dan tidak dicemari udara kotor. Selama ini mereka terpaksa kerana tidak ada pilihan. Restoran tersebut mungkin menyediakan menu yang sedap dan harga berpatutan tetapi lantai kotor dipenuhi dengan habuk dan