Hamzah Fansuri, seorang penyair tasawuf pernah berperi, hidup dalam dunia umpama dagang, datang musim kita kan pulang, La tasta’khiruna sa’atan lagikan datang, mencari makrifat Allah jangan alang-alang.

Jelas maksudnya, tidak dapat ditunda waktu saatnya kematian itu akan tiba.

Di dalam Islam, hidup sesudah mati adalah suatu perjalanan yang paling panjang. Bersedia dengan segala bekalan sewaktu hidup iaitu berbakti dan beramal. Alam dunia merupakan masa yang baik untuk memulai dan melakukan segala kebaikan. Ibarat di dunia kita menanam, di akhirat kita menuai.

 Jangan tunggu hari esok. Walaupun esok tetap ada, tetapi belum tentu esok milik kita.

Merujuk sirah nabi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).