Sebagaimana belanjawan tahun-tahun sebelum ini, perbelanjaan mengurus kali ini lebih besar daripada perbelanjaan pembangunan, iaitu lebih 80 peratus.

Belanjawan 2019 dibentangkan ketika igauan ngeri bulan Oktober yang berlaku dalam pasaran saham global belum reda dan masih tidak menampakkan kemuraman ini akan berakhir.

Namun seperti beberapa belanjawan sebelum ini, belanjawan terkini memberikan penekanan terhadap kesejahteraan rakyat.

Demi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat, kerajaan menumpukan strategi menjamin kebaji­kan dan kualiti hidup; mening­katkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran; meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perlindungan kebajikan sosial; dan meningkatkan pendapatan boleh guna.

Meskipun rakyat pernah diberitahu bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan pemberian wang percuma daripada kerajaan dan era BR1M telah berakhir, dalam Belanjawan 2019 kerajaan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung pada saiz isi rumah.

Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000, isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 kepada RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750, dan isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM3,001 kepada RM4,000, akan menerima bantuan berjumlah RM500. Kerajaan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur.

Walau bagaimanapun, dengan anggaran 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion, jauh lebih rendah daripada BR1M yang melibatkan tujuh juta orang penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion,