TEO KOK SEONG
TEO KOK SEONG
Peristiwa memeterai janji atau waad itu dapat diperhalusi menerusi penceritaan karya agung Sulalatus Salatin hasil penulisan Tun Seri Lanang yang memberi gambaran kepada umum tentang kepentingan menjaga hubungan antara raja dan rakyat.
Konsep waad boleh didefinisikan sebagai suatu bentuk perjanjian yang menjadi lambang atau simbol hubungan antara raja dengan rakyat bagi mencipta keharmonian hidup bermasyarakat.
Menerusi konsep itu, pihak raja perlu memerintah dengan adil dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang bersifat zalim terhadap rakyat manakala bagi rakyat jelata, mereka perlu melafazkan sumpah setia untuk tidak sesekali menderhaka kepada raja.
Dalam pada itu, kepatuhan kepada konsep waad dilihat menerusi corak pemerintahan Sultan Mansur Syah sewaktu mentadbir Melaka dengan adil hingga membolehkan baginda memperluaskan jajahan takluk ke negeri lain seperti Siam, Mengkasar dan Majapahit.
Keadaan tersebut bukan sahaja menjadikan Melaka sebagai sebuah empayar yang digeruni negara lain malah turut membolehkan rakyat hidup dengan sejahtera susulan kemajuan ekonomi yang dikecapi ketika itu.
Bagaimanapun, Sulalatus Salatin turut menceritakan akibat daripada pelanggaran waad apabila Singapura diserang todak hingga mengorbankan banyak nyawa ekoran kezaliman Paduka Seri Maharaja yang membunuh seorang alim, Tuan Jana Khatib.
Kisah perjanjian itu yang dimeterai ratusan tahun dahulu memberi gambaran bahawa raja dan rakyat saling memerlukan antara satu sama lain dan andai kata tiada lagi persefahaman, kepincangan mungkin berlaku.
Dalam konteks semasa pula, institusi beraja merupakan khazanah Melayu yang perlu dipertahankan kewujudannya kerana menjadi penyambung dan pelindung kepada adat-adat Melayu yang perlu dikekalkan maruahnya.
Jika sebelum ini perjanjian waad berfungsi untuk mengikat kasih sayang antara raja dan rakyat namun dalam era masa kini, institusi beraja merupakan pejuang utama dalam mempertahankan maruah dan adat Melayu.
Menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Teo Kok Seong, raja-raja Melayu secara asasnya merupakan pelindung kepada adat Melayu khususnya sebagai Ketua Agama Islam serta Ketua Istiadat Melayu.
Reputasi
Peranan tersebut menjadi antara sebab utama mengapa institusi beraja di negara ini perlu kekal wujud dan dipertahankan sebaiknya meskipun terdapat cubaan daripada sesetengah pihak untuk mencalarkan reputasinya.
“Institusi beraja juga memberi gambaran kepada manifestasi keagungan tamadun dan peradaban Melayu malah sistem monarki dunia turut mengagumi corak bergilir yang diamalkan di Malaysia,” katanya pada program bicara bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi baru-baru ini.
Kok Seong menambah, pemilihan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir untuk tempoh lima tahun bukan sahaja dilihat unik malah memperlihatkan kecanggihan pemikiran sivil dalam kalangan pemimpin Melayu.
Pemikiran sedemikian mencerminkan tahap manifestasi tertinggi tamadun Melayu apabila mewujudkan inovasi dalam demokrasi (sistem penggiliran beraja) yang tidak pernah diamalkan oleh sistem monarki dunia sebelum ini,” ujarnya.
Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dengan memiliki raja-raja Melayu dari sembilan buah negeri meliputi Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Setiap raja akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan jawatan tersebut tidak diwarisi secara turun temurun.
Memandangkan institusi beraja sebahagian daripada sistem pemerintahan di negara ini maka raja-raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong merupakan individu penting dalam mencorakkan sistem politik di Malaysia.
“Sebagai Raja Berperlembagaan, baginda bukannya bertakhta semata-mata bagi menyempurnakan sesuatu acara rasmi negara sebaliknya kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri membolehkan baginda berkuasa dalam politik,” jelasnya.
Kuasa politik tersebut membolehkan institusi beraja di negara ini mempunyai pengaruh kuasa dalam bidang perundangan berbanding sistem monarki negara dunia lain seperti Jepun dan Sweden yang hanya menikmati prestij sosial tanpa kuasa politik.
Pun begitu, sistem beraja di Brunei disifatkan sebagai lebih berkuasa dan mempunyai pengaruh politik yang besar di peringkat antarabangsa berbanding monarki lain di dunia termasuk Malaysia sendiri.