Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Pembangkang hipokrit sanjung, mendukung Bapa Segala Tol: Najib

Kata-kata putar belit dan janji-janji manis yang ditabur pembangkang kepada rakyat termasuk hapuskan tol sekiranya mereka memerintah negeri tidak mungkin mampu mereka tunaikan.

Sebaliknya kata Datuk Seri Najib Tun Razak, pembangkang di Malaysia bersikap hipokrit apabila mereka jugalah yang menyanjung tinggi dan mendukung Bapa Segala Tol, bekas pemimpin yang membuat perjanjian berat sebelah, menguntungkan sesetengah kroni tetapi merugikan dan menindas rakyat.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi tol yang memanfaatkan kawasan dan kumpulan masyarakat tertentu sahaja sedangkan peruntukan tersebut boleh digunakan dengan lebih baik untuk hal ehwal kebajikan rakyat seluruh negara.

“Umum juga mengetahui bahawa pembangkang jugalah yang menjadi pemegang saham dalam beberapa konsesi tol.

Malah, ada juga nak bina lebuh raya bertol di negeri yang mereka pimpin. Ada pula yang berjanji hapuskan tol sejak 2008 bila memimpin negeri, tapi sampai sekarang tol itu masih berada di situ,” katanya dalam entri terbaru Najib Razak.com.

Catatan Perdana Menteri itu susulan kutipan di 4 tol dimansuhkan di 3 buah negeri; Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, EDL di Johor dan Tol Bukit Kayu Hitam di Kedah.

“Saya masih ingat lagi semasa mengumumkan perkara ini dalam pembentangan Bajet 2018. Gamat suasana dewan, lebih-lebih lagi para pembangkang yang sibuk mula memikirkan bagaimana mereka ingin
Loading...
memutar belit pengumuman ini untuk kepentingan politik mereka.

“Ada yang kata pemansuhan ini adalah hasil usaha mereka, padahal hakikatnya UMNO-lah yang memperjuangkannya bersama komponen parti Barisan Nasional dan pemimpin Kerajaan,” kata Najib lagi.

Menurut beliau, ada pula yang kata bahawa memang sudah sampai masa perjanjian konsesi ini tamat, atau ia sepatutnya dimansuhkan lebih awal lagi, sedangkan perjanjian menunjukkan bahawa ada tol itu ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada jadual.

Lebih buruk lagi, katanya ada pula yang mengatakan bahawa pemansuhan tol ini hanya memudaratkan rakyat.

“Mungkin mereka ini tak dapat lihat kesesakan di kawasan bertol tersebut, atau mereka tak dapat mengira berapa ramai rakyat yang kini dapat berjimat apabila tidak lagi perlu membayar tol,” ujarnya.

Tegas beliau, kesemua ini hanya omong kosong, bukan sahaja tol, bahkan satu apa janji populis pembangkang  kepada rakyat pun tidak mungkin dapat dilaksanakan, kerana hakikatnya mereka tidak mempunyai perancangan dan pelan yang kukuh untuk melaksanakannya.

“Saya percaya rakyat dapat melihat dan merasai sendiri segala usaha dan keikhlasan Kerajaan Barisan Nasional hari ini, berjanji bukan untuk menang undi, tetapi menunaikannya demi untuk rakyat Malaysia.

“Beberapa tol telah dimansuhkan sejak 2009, termasuklah 4 hari ini, dan harga tol juga terus dihadkan walaupun perjanjian konsesi menuntut ia dinaikkan hasil legasi seorang dua bekas pemimpin terdahulu,” tegas Najib.

Menurut beliau, kerajaan terus mendengar nadi denyut rakyat dan membantu dengan pelbagai kemudahan Infrarakyat, seperti Lebuhraya Pan Borneo yang bebas tol, projek-projek keretapi, dan segala insentif dan pemberian kebajikan.

Katanya, usaha-usaha ini akan diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kerana kita inginkan semua rakyat Malaysia menikmati pembangunan negara.
Loading...
Back To Top