Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

'Kemarahan' Dr Mahathir yang boleh buat orang gelak…

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh marah jika nanti ada yang cop beliau sudah sampai tahap desperado atau dalam Bahasa Melayu begitu terdesak sekali.Silap haribulan ia juga boleh menghakis saki baki rasa hormat pada statusnya sebagai seorang negarawan.

Dengar cerita kalangan orang PAS sendiri merasa ‘terhibur’ mendengar bekas Perdana Menteri itu membebel panjang lepas geram pada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hingga labelnya sebagai kafir dan pengkhianat kerana didakwa bekerjasama dengan UMNO.

Juga ada yang garu kepala bila Dr Mahathir dakwa sedia sumpah junjung Quran di masjid untuk membuktikan bukan beliau yang pecat bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Salleh Abbas pada tahun 1998.Sebaliknya dakwanya ia atas kehendak Yang diPertuan Agung Almarhum Sultan Iskandar.

Dr Mahathir nampaknya tidak dapat mengawal dirinya lepas geram tembak sana sini pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Rabu sempena pelancaran program barunya ‘Policy Talk’ yang akan diadakan setiap minggu menjelang pilihanraya umum ke 14 ini.

Bayangkan nanti setiap minggu Dr Mahathir akan dendangkan 'kemarahan' beliau.

Kalau diselak balik kenyataan-kenyataan politik yang dibuat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu …bukan sekali tetapi sudah banyak beliau hentam Haji Hadi kerana dakwa kononnya tindak tanduk PAS pecah undi dan hendak tokong  menangkan BN pada PRU14.

Cuma kali ini beliau lajak lebih sikit melabel Presiden PAS itu ‘kafir’  kerana berkerjasama dengan UMNO yang didakwa pernah dilabelnya sebagai ‘kafir’.

Hairan bin ajaib…kalau Dr Mahathir merasa PPBM sudah ada gandingan mantap dengan PKR,DAP dan PAN apa yang beliau perlu risau pada PAS .

Juga sudah berkali-kali beliau sendiri dakwa PAS tidak akan menang banyak kerusi jika tanding sendirian.

Beliau sepatutnya tampil konfiden duduk diam-diam goyang kaki dan kira satu persatu kerusi yang bakal dimenang oleh pakatan pembangkang pada PRU14 nanti.

Apa perlu beliau nak melompat mendengar PAS nak bertanding di 130 kerusi Parlimen.

Perlukah merasa keputusan PAS itu boleh bikin rosak program pakatan pembangkang terpaksa hadapi pertandingan tiga penjuru?

Suka hati PAS lah parti itu nak bertanding berapa kerusi pun.Ini kan negara demokrasi.

Fakta di depan mata…UMNO dan PAS setakat ini belum pernah membuat sebarang kenyataan rasmi untuk jalin kerjasama politik bagi hadapi PRU14.

Apa yang ada cumalah penyertaan bersama dalam demonstrasi aman melibatkan pendirian berhubung isu Rohingya dan Palestin.

Di Parlimen pula kedua parti itu bersatu hati dalam bab RUU355.

Mungkin ada yang risau melihat Presiden UMNO dan Presiden PAS nampak lebih mesra berbanding masa lampau.

Dalam politik kemesraan itu tidak semesti ada maksud lebih dari itu.

Bagaimana pula dengan kisah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital baru-baru ini?

Malah dengar cerita orang UMNO sendiri terkejut.

Jangan pula kata mereka nak ‘mengurat’ Anwar untuk wujudkan jalinan mesra dengan UMNO.

Bab kerjasama UMNO-PAS ini nampaknya hanya boleh jadi bahan bualan politik saja.

Setakat ini tidak ramai pemerhati politik yang melihat ada kemungkinan kedua parti boleh jalin kerjasama
Loading...
politik.

Ia tidak semudah yang diduga sekalipun orang cakap dalam politik ini tidak ada yang mustahil.

Banyak perlu diambil kira  kerana ia melibatkan macam-macam hal khususnya kerusi-kerusi yang hendak ditandingi.

Maka 'kemarahan' Dr Mahathir dilihat lebih pada usaha nak tembak dua burung dengan satu peluru bagi cetuskan persepsi buruk sangka dan rasa curiga pada UMNO dan PAS.

Tolak sebelah itu semua…apa yang agak lawak di sini bukankah tubuh badan orang yang bercakap itu sendiri pernah tuduh Lim Kit Siang rasis.

Kita sekarang bukan bermimpi di siang hari melihat PPBM pimpinan Dr Mahathir berdakap erat dengan DAP.

Juga realitinya Dr Mahathir juga berpeluk dengan PKR…parti yang dinaungi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim orang yang pernah dicopnya tidak layak memimpin negara kerana isu moral.

Ingat lagi wajah bekas Perdana Menteri mengambarkan dalam sidang akhbar dari siasatannya semdiri bekas timbalannya bukan sahaja meliwat pasangannya tetapi juga buat aksi ’melancap’.

Memang jijik perlakuan Anwar seperti digambarkan Dr Mahathir.

Rasanya budak darjah satu pun akan tergelak kalau dengar bekas Perdana Menteri itu marah-marah  mendakwa Haji Hadi ‘ main mata’ dengan UMNO sedangkan PPBM sudah sah-sah berganding tangan dengan parti yang dipimpin oleh orang yang didakwanya rasis dan terlibat meliwat.

Ini ibarat perangai orang yang merasakan dia boleh buat apa saja sebaliknya apa orang lain buat semua salah.

Itu bukan gaya seorang negarawan namanya.

Juga agak kurang mantap orang yang berstatus seperti Dr Mahathir buat pengakuan berani bersumpah di masjid secara pilih-pilih isu.

Ini merujuk kepada kesediaan beliau nak bersumpah pasal isu bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dipecat.

Sebenarnya ada banyak lagi hal yang belum perlu tampil dengan pendirian berani bersumpah.

Ingat lagi pada Ogos tahun lalu kes Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dedah Dr Mahathir berbohong dakwa beliau ada cakap pasal rancangan nak jatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengannya pada 2015 selepas dilantik ke jawatan nombor dua itu.

Zahid kata beliau ada rakaman perbualan mereka bukti pembohongan itu dan sedia sumpah di masjid serta cabar Dr Mahathir buat perkara sama.

‘Kalau sumpah laknat saya sanggup buat, beliau pun mesti juga sanggup buat,’kata Timbalan Perdana Menteri.

Cuba periksa ada Dr Mahathir respon pasal pendedahan Zahid atau buat sumpah laknat untuk buktikan beliau tidak cakap bohong.

Jawabnya…tidak.

Bagaimana pula dengan desakan ramai pihak yang mahu beliau nyatakan pendirian sebenarnya sekarang keatas kes liwat Anwar.

Tuntutan itu turut bergema semasa program Nothing To Hide yang diadakan di Shah Alam tidak lama dulu dan forum anjuran parti pembangkang dengan anak muda di Petaling Jaya.

Beranikah Dr Mahathir bersumpah untuk kata tindakan beliau dulu keatas Anwar silap.

Sehingga hari ini bekas Perdana Menteri itu terus menerus ‘ main dalam semak’ tidak berani nyatakan pendirian  terkini pasal kes itu sekalipun menyertai kempen minta bebaskan Anwar.

Dalam dua kes liwat melibatkan Ketua Umum PKR itu yang kini sedang jalani hukuman penjara lima tahun, semua periingkat mahkamah dapati beliau bersalah.

Dan…semua kenyataan-kenyataan ‘manis’ yang dibuat oleh Dr Mahathir pasal kes Anwar dulu-dulu ada tersimpan dalam bentuk rakaman suara,video dan cetakan akhbar.

Ini antara sumpah yang sangat dinanti-nantikan oleh ramai orang.

Dr Mahathir…ada berani???

Sudah pasti Datuk Seri Wan Azizah Ismail,Lim Kit Siang,Mohamed Sabtu dan mereka yang sewaktu dengannya akan teropong dengan penuh minat untuk menghayati kata-kata sumpah Pengerusi PPBM pasal itu.
Loading...
Back To Top