Loading...
23 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menyifatkan kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa mengenai Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukannya, dianggap tindakan terdesak.
Katanya, hasrat yang dinyatakan oleh Annuar semalam jelas menunjukkan Mara di bawah kepimpinan beliau sudah hilang arah dan hala tuju.
“Mara sudah hilang arah dan hala tuju. Pengiktirafan UEC oleh UniKL adalah tindakan terdesak Mara di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang ternyata gagal.
“Beliau gagal dalam menangani isu KAFA dan terkait dengan kontroversi pembelian hartanah di Australia,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Malah katanya, jika hasrat itu diteruskan oleh Annuar dan Mara, UniKL akan menjadi kesinambungan masalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta memberi talian hayat kepada sekolah vernakular.
“Sepatutnya sekolah vernakular ditutup kerana tidak berpelembagaan dan menjauhkan jurang perpaduan kaum.
“Tetapi, keputusan UniKL itu memberi talian hayat pula kepada SJKC,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Annuar semalam, yang menjelaskan bahawa UNiKL universiti swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menerima permohonan pemegang sijil UEC.
“Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level,” kata Annuar, semalam. - ismaweb
Loading...