KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam terpaksa menerima kenyataan bahawa masa masih belum mengizinkan beliau bebas daripada hukuman penjara.  

Banyak perancangan dan impian untuk beliau kembali aktif dalam politik kini perlu dilupakan seketika sehinggalah pertengahan 2018 apabila dibebaskan kelak.

Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu yang mengemukakan permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan ditolak Mahkamah Persekutuan.

"Itu bukan penamat segala-galanya," kata Anwar semalam.

Namun secara realitinya, Anwar yang kini sudah menjangkau usia 69 tahun perlu menyedari usia yang semakin lanjut serta tenaganya yang terhad akan menjadi halangan untuk beliau terus bergiat cergas dalam dunia politik.

Sekiranya Anwar bebas pada pertengahan 2018, usianya telah mencecah 71 tahun. Ini bermakna beliau boleh bertanding semula dalam PRU setelah berusia 76 tahun kerana mengikut undang-undang, seseorang pesalah hanya boleh menjadi calon pilihan raya setelah lima tahun bebas daripada hukuman penjara.

Malahan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri sekiranya BN hilang tampuk pemerintahan.

“Saya rasa dia sudah terlalu tua,” kata Mahathir ketika ditemu bual oleh The Australian dalam satu wawancara.

“Apabila saya berumur dalam 70-an, saya buat pengumuman bahawa saya tidak lagi boleh jadi PM pada usia 80, jadi saya nyatakan bahawa saya akan letak jawatan dan saya lakukannya sebelum saya berumur 80 tahun,” kata Mahathir yang sudah pun berusia 91 tahun.

Jadi, setelah kehilangan Anwar, siapakah calon yang paling layak menjadi perdana menteri sekiranya BN kalah dalam PRU14?

Ketika Pas dilihat semakin akrab dengan BN, Pakatan Harapan seperti menerima suntikan semangat baharu apabila secara rasmi mencapai kata sepakat dengan Bersatu dengan membentuk pakatan pilihan raya bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.