Loading...
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengumumkan akan meletakkan 50 calon bebas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden Datuk Ibrahim Ali berkata calon bebas memberi alternatif kepada pengundi untuk membuat pilihan, khususnya pengundi Melayu.
“Kita tidak tolak kemungkinan Perkasa akan membariskan sekumpulan calon-calon bebas yang kita namakan ‘calon barisan bebas Perkasa’ untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Tumpuan kita ialah kerusi Parlimen majoriti Melayu, (yang) sudah tentu ditandingi Barisan Nasional, PAS dan Pakatan Harapan. Kita akan masuk,” katanya dalam satu sidang media di Stadium Titiwangsa.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dasar dalam Persidangan Agung Tahunan Ke-7 Perkasa 2016 yang disertai oleh 2,000 orang ahlinya.
Mewajarkan rancangan itu kepada perwakilan Perkasa, Ibrahim yakin ia tidak akan menjejaskan kepentingan pengundi Melayu seluruhnya memandangkan semua parti akan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
“Kita percaya sesiapa yang menang di kawasan Melayu, ia tidak akan jejas orang Melayu,” tegasnya.
Terdapat 5 parti berteraskan Melayu-Islam yang popular ketika ini iaitu Umno, PAS, PKR, PPBM dan Amanah manakala parti lain seperti DAP juga mempunyai ahli berbangsa Melayu.
Ibrahim menjelaskan rasional disebalik rancangan Perkasa untuk menurunkan calon bebas.
“Pasal sistem di Malaysia ini bergantung kepada parti yang menang. Jika jadi ahli Parlimen…tak kira Umno, DAP atau PAS…anda tidak bebas. Anda boleh bercakap apa anda nak cakap, tetapi bercakap pun ditentukan oleh parti mereka,” katanya.
Tambahnya calon yang dipilih mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang meyakinkan.
“Bagi peluang kepada calon bebas, sebab barisan yang kita kenalpasti adalah mereka yang berkelayakan seperti bekas pegawai tinggi kerajaan, peguam pengalaman, golongan profesional dan tokoh agama,” katanya. #sumber
Loading...