Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

MIC Sokong Muhyiddin, BERSATU Sehingga BN Capai Keputusan Baharu

Loading...

                



MIC sokong Muhyiddin, Bersatu sehingga BN capai keputusan baharu

BERNAMA
3/4/2021

KLANG: MIC hari ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan bekerjasama dengan Bersatu.

Presidennya Tan Sri S.A Vigneswaran berkata pendirian itu diambil MIC buat masa ini sementara menunggu perkembangan baharu daripada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Sebaiknya BN mencari kesepakatan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sini.

Vigneswaran juga mahu sebarang keputusan untuk bekerjasama dibuat secara musyawarah dalam kalangan parti komponen demi kepentingan rakyat.

Tidak ada salahnya BN menerima parti lain yang berhajat menyertai gabungan berkenaan kerana BN perlu mengumpulkan semula kekuatan selepas kalah pada PRU14, katanya.

Malah tegas Vigneswaran, BN seharusnya memanfaatkan kekuatan parti lain termasuk Bersatu bagi menghadapi PRU15.

UMNO baru-baru ini membuat ketetapan untuk bergerak secara solo dan bertanding di bawah logo BN pada PRU akan datang, selain kerjasama mereka dengan Bersatu hanya diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, Vigneswaran juga meminta BN memastikan MIC diberikan kerusi yang boleh dimenangi pada pilihan raya demi memastikan masyarakat India tidak ketinggalan daripada arus kemajuan.

Pembahagian kerusi katanya harus bersandarkan kepada realiti politik di peringkat akar umbi.

"Jangan cuba menghina kami dengan kerusi-kerusi pasti kalah kerana pelbagai faktor," tegasnya.

Perhimpunan tersebut yang diadakan secara hibrid dihadiri lebih 2,000 perwakilan dengan 440 secara fizikal dan bakinya secara maya.

Hadir sama Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sementara Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap secara maya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyampaikan ucapan khas secara maya.


PM Muhyiddin minta MIC utamakan politik perpaduan


KLANG: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MIC boleh melakukan sumbangan besar kepada situasi semasa dengan mengutamakan politik perpaduan demi kebajikan rakyat, bukan politik pecah belah untuk kepentingan sempit.

"Kita telah memasuki era baharu dalam politik negara kita. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa bahawa merekalah parti yang paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti-parti lain. Ini politik lama," kata Muhyiddin pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu menyampaikan ucapan khas itu secara maya.

Menurut perdana menteri, dalam era politik baharu sekarang, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara.

"Kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara," tegas beliau.

"Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil," tambahnya.

Muhyiddin berkata semua organisasi politik di negara ini termasuk MIC sepatutnya menjadikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara sebagai prinsip panduan dalam menentukan hala tuju parti masing-masing.

Pada masa sama beliau berterima kasih kepada MIC yang terus memberikan sokongan kepada kerajaan PN selain menjadi parti yang pernah bersama-sama mengemudi negara sejak tujuh dekad yang lalu.

"Sumbangan MIC dalam memajukan masyarakat India, baik dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain, telah berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.

"Tidak keterlaluan jika saya katakan dalam setiap kejayaan yang dicapai oleh masyarakat India, terdapat sumbangan MIC di sebaliknya," katanya.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:

Loading...
Back To Top