Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Nama rasmi wabak koronavirus - Covid-19

Loading...
Wabak koronavirus yang telah menjangkiti lebih 43,000 orang dan mengorbankan lebih 1,000 nyawa kini secara rasmi dinamakan sebagai Covid-19.

Diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), nama itu merupakan kependekan daripada "Coronavirus Disease 19". Ia merupakan kali pertama garis panduan WHO bagi penamaan wabak manusia digunakan sejak ia diwujudkan pada 2015.

"Nama ini penting bagi mengelakkan penggunaan nama lain yang tidak tepat atau menimbulkan stigma.

"Ia juga memberikan kita format standar untuk digunakan bagi sebarang penularan koronavirus pada masa akan datang," kata ketua pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media di Geneva, awal pagi tadi,

SARS-CoV-2 punca Covid-19

Dalam perkembangan berkaitan, jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk penamaan dan klasifikasi virus memberi nama rasmi kepada virus yang menyebabkan Covid-19.

Dalam satu kertas kajian, Jawatankuasa Antarabangsa untuk Taksonomi Virus (ICTV) berkata virus itu akan dinamakan sebagai SARS-CoV-2, atau Sars Coronavirus 2.

Penulis kertas kajian itu berkata, ini kerana virus SARS-CoV-2 berkait rapat dengan virus yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) yang meragut hampir 800 nyawa sepanjang 2002-2003.

Garis panduan elak stigma

Menurut garis panduan 2015 oleh WHO, nama wabak antara lain perlu pendek, senang disebut dan merujuk kepada patogen yang menyebabkannya, jika ia diketahui.

Ia secara khusus menyatakan istilah seperti rujukan geografi, nama manusia, haiwan atau makanan, serta rujukan budaya dan pekerjaan perlu dielakkan.

Contoh nama wabak yang perlu dielakkan termasuk: Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers), selesema babi dan selesema burung, kata dokumen itu.

Garis panduan itu dibuat selepas WHO mengkritik epidemik 2015 yang dinamakan sebagai Mers, dan berkata ia secara tidak wajar telah mencetuskan stigma terhadap mereka yang berasal dari Timur Tengah.

"Wabak seringkali diberi nama biasa oleh orang di luar komuniti saintifik.

"Sebaik nama wabak digunakan dalam internet dan media sosial, ia sukar diubah walaupun nama itu tidak sepatutnya digunakan.

"Maka, penting untuk sesiapa yang paling awal melaporkan wabak yang baru dikenal pasti untuk menggunakan nama yang sesuai, yang diterima secara sosial dan mantap secara saintifik," kata dokumen itu lagi.

Kesan tak diingini

Laporan BBC berkenaan penamaan wabak baru yang diterbitkan minggu lalu juga mengambil maklum bahawa selepas penularan virus H1N1 pada 2009, yang digelar sebagai "selesema babi", Mesir menyembelih semua babinya.

Ia walaupun virus itu disebarkan melalui manusia dan bukannya babi.

Bagi Covid-19, China pertama kali melaporkan kes pneumonia dengan punca yang tidak diketahui kepada WHO pada 31 Disember 2019.

Virus yang menyebabkannya hanya dikenal pasti pada 7 Januari, dan kemudian diberi nama 2019-nCoV, atau 2019 novel coronavirus.

Istilah 'koronavirus' merujuk kepada kelas virus yang mempunyai permukaan yang memberikan bentuk seperti mahkota jika dilihat melalui mikroskop. 'Corona' bermaksud mahkota atau 'halo' dalam bahasa Latin.

Turut berada dalam kelas itu ialah virus yang menyebabkan Sars dan Mers.

Walaupun ada nama sementara, virus itu sering dirujuk sebagai "koronavirus Wuhan" atau "virus China" dalam perbincangan tidak rasmi, termasuk di media.

Sejumlah kes serangan dan gangguan berkaitan Covid-19, yang menyasarkan orang yang berasal dari Asia, dilaporkan di beberapa negara.

Sebelum ini, Asia News Network melaporkan insiden di stesen kereta api New York pada 2 Februari, di mana seorang wanita yang memakai topeng muka digelar "diseased b*tch" sebelum diserang di kepala.

Pada 4 Februari, Leicester Mercury di UK melaporkan dua remaja diganggu dan dibaling telur. Penyerang mereka dilaporkan menyalahkan salah seorang remaja itu kerena menyebarkan wabak itu di UK.
Loading...
Back To Top