Loading...
DAP mengulangi kenyataan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dianggap sebagai agen pengikat antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim masih dianggap sebagai ‘hero’ dalam Pakatan Rakyat (PR) mahupun Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan gabungan itu terus kukuh sehingga memerintah Putrajaya pada 9 Mei lalu.
“Kita harus berterima kasih kepada tiga gergasi politik Malaysia kerana telah membolehkan berlakunya perubahan.
“Anwar Ibrahim telah menjadi pengikat yang menyatukan parti-parti pembangkang melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan,” katanya ketika merasmikan Persidangan DAP 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.
Guan Eng berkata sejak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, Anwar terus komited untuk berjuang dalam platform pembangkang ketika itu bersama Pas.
Bagaimanapun, menurut Guan Eng, PH tidak akan menang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tanpa kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan gabungan bersama Bersatu.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir atas keberanian dan keputusannya untuk membina satu jalan politik yang baharu, yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini ketika kleptokrasi BN dilihat mustahil untuk ditewaskan.
“Kita juga berterima kasih kepada Lim Kit Siang kerana membuat keputusan yang sukar tetapi sangat penting untuk bergabung dengan Tun Dr. Mahathir walaupun pada masa itu dilihat bertentangan dengan sentimen dalaman parti,” katanya dihadapan hampir 1,000 ahli DAP.
Malah dalam ucapan itu, Guan Eng turut menyebut nama bekas Musyidul Am Pas, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang secara terang-terangan melindungi Pakatan secara konsisten daripada kuasa-kuasa konservatif.
“Sayang sekali, ketiadaannya telah membuka jalan kepada golongan rasis dan pelampau untuk naik pangkat.
“Berasaskan legasi Tok Guru, Mohamad Sabu dan yang lain-lain telah membuat pengorbanan besar untuk meninggalkan Pas dan membentuk Parti Amanah Negara, dengan menerima serangan yang bertali-arus,” katanya lagi.
DAP antara parti gabungan PH yang berjaya menewaskan kerajaan 61 tahun, pada 9 Mei lalu. -MalaysiaGazette
Loading...