Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Sandiwara politik : Untungkah rakyat?

Loading...
POLITIK merupakan salah satu segmen sebuah kehidupan yang saling berkait di antara kita. Benarkah ramai yang beranggapan bahawa politik itu kotor dan sewajarnya kita tidak terlibat langsung? Sedangkan politik itu penting mencakupi pelbagai sudut perjalanan seharian kita. Kelihatan kotor itu bukan politik tetapi ahli politik yang meletakkan kepentingan tertentu yang utama.

Pelbagai episod pendedahan terbuka atau konspirasi terancang atau kini dikenali sebagai fitnah rantaian semakin merebak dalam masyarakat kita. Budaya Yahudi ini mula menular di kalangan kita sejak akhir-akhir ini. Namun dari sudut pandang tertentu, hikmahnya untuk kita bermuhasabah dan kembali menilai keterlibatan kita sama ada secara langsung atau tidak langsung (termasuk mereka yang langsung tidak mempedulikannya selama ini) melalui konteks politik Islam.

Media massa kini menjadi komponen dan platform penting komunikasi di kalangan masyarakat. Sama ada fakta atau auta, ianya berlegar-legar dengan pantas dan pelbagai penerimaan itulah seni politik dalam penyampaian. Namun hari ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mewujudkan sandiwara politik dengan menjaja fitnah yang sebenarnya tidak menguntungkan rakyat malah lebih teruk lagi mereka hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Itulah sebenarnya yang perlu dirungkaikan segera.

"Politik bukan bekalan untuk hidup tetapi politik bekalan untuk mati," petikan kata-kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad. Ia menunjukkan betapa pentingnya kepada kita semua. Justeru asas politik mesti bermula daripada individu dengan kesedaran dan kefahaman diberi penekanan penting. Kita mesti memilih untuk menjadi baik dan mengajak ke arah kebaikan bertepatan dengan fitrah kejadian manusia.

Bagi ahli gerakan Islam atau pastinya terdidik dengab adab berjemaah dengan memberi wala' dan tsiqah kepada pimpinan yang sudah pasti setiap keputusan dibuat secara syura. Strategi itulah akan merangkumkan individu kepada organisasi yang adanya pemimpin dan pengikut. Ilmu dan pengalaman perlu seiringan serta bersama-sama mendukung dengan penglibatan langsung akan menghampirkan kita kepada Allah S.W.T.

Oleh ZULFAHMI RAMLI

 Sebagai ahli jemaah yang telah memahami tanggungjawab pastinya memilih untuk istiqamah dalam setiap tindakan dan aktiviti. Namun di sana pentingnya untuk terus memperkasa tarbiyah individu dan organisasi dengan berterusan. Tarbiyah akan mengikat diri kita untuk sentiasa dekat dengan Allah S.W.T serta membentengi kita daripada terlanggar prinsip berjemaah. Oleh itu, ahli jemaah mesti menghadiri usrah, ijtima', tamrin dan seumpamanya. Begitu juga buat ahli baru atau yang bersedia bersama dengan jemaah mestilah sekurang-kurangnya memulakan tarbiyah individu dengan solat fardhu berjemaah, qiamullai, bacaan al-Matsurat dan amalan sunat. InsyaAllah dengan sempurna tarbiyah, mudah untuk minda kita aktif dan bertindak secara proaktif seiringan dengan strategi dan fokus organisasi jemaah.

Menyerang untuk menerang, menyokong untuk kestabilan negara, bekerjasama untuk penyatuan ummah merupakan langkah politik damai yang mesti dicontohi daripada kepimpinan ulamak yang dibawa oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tuan Guru sedang mengajar, mendidik kita Siasah Syar'iah berdasarkan banyak peristiwa Sirah Rasulullah S.A.W.

Pelbagai tuduhan dilemparkan kini oleh pihak lawan yang sudah tidak senang duduk dengan strategi politik Islam yang sudah pasti menguntungkan rakyat dan negara. Atas sebab itu, PAS sebagai parti yang menjunjung al-Qur'an, as-Sunnah, Qias dan Ijma' sebagai dasar perjuangan sering dilihat bertahan tetapi bukan bererti menyerah kalah atau mempertahan mereka yang didakwa bersalah. 

Namun terdapat pertimbangan wajar yang lebih ringan mudaratnya malah InsyaAllah akan memberi manfaat lebih baik untuk lebih ramai.

Justeru, Tuan Guru Presiden menyeru untuk kita semua khususnya ahli jemaah untuk bermunajat kepada Allah sebagai pengikat kesabaran kerana kita adalah hamba-Nya yang sememangnya dituntut akhirnya bertawakkal kepada Allah S.W.T. Yakinlah kita bahawa Allah S.W.T pasti membantu mereka yang berjuang untuk Islam.

"Kemungkinan Islam bukan menang di zaman saya, tapi di zaman tuan atau puan, atau tuan atau puan tidak sempat ketika Islam itu menang, tapi biarlah kita hidup dalam memperjuangkan Islam," pesanan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Oleh yang demikian, saat ini yakinlah kita bahawa setiap tindakan kita hendaklah dilaksanakan kerana Allah S.W.T. Maka kembalilah kepada Allah S.W.T Maha Berkuasa atas segalanya, Tuhan Pencipta sekalian alam. Semoga kita semua mendapat keredhaan-Nya dan bertemu di syurga-Nya nanti sebagai orang-orang yang bertaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”
(ali-'Imran : 102)
Loading...
Back To Top