Loading...
HIMPUNAN Woman's March yang diadakan pada hari ini, 9 Mac 2019 adalah satu agenda mengarut dan jelas menunjukkan kedangkalan atau ketidak perihatinan pemahaman pendukung ini terhadap akar budaya rakyat Malaysia yang menekankan adab sopan dan budi pekerti mulia.
Intipati daripada laungan “Hidup Wanita”, “Hidup LGBT”, "Hentikan Stereotaip dan Prejudis”, serta perjuangan kesaksamaan gender sebenarnya berlawanan dengan norma masyarakat Malaysia kerana ia hanya berakar umbi daripada gerakan-gerakan di Barat dan Eropah.
Muslimat PAS ingin menegaskan bahawa Allah S.W.T telah secara jelas mencegah dan melarang gaya hidup LGBT dalam Surah al-A'raf ayat 80-81, dan tindakan mempromosi dan mempertahankan hak LGBT dilihat sebagai mencabar perintah Allah S.W.T dan ianya amat memalukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara Islam.
Kami juga mengecam tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada SIS, sebuah pertubuhan yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor, serta perjuangannya bertentangan dengan kehendak rakyat Malaysia.
Oleh itu, Muslimat PAS menyatakan bantahan terhadap perhimpunan dan segala kehendak golongan Liberal seperti SIS dan Women Aid Organization (WAO) untuk menyemai idea Liberal dan Feminisme di Malaysia.
Kami juga menyeru agar semua wanita tidak mengikuti ajaran songsang ini dan terus mengenal Islam serta ajarannya yang sebenar dan kami percaya agama lain juga mencegah perbuatan songsang yang tidak mendatangkan manfaat kepada penganutnya.
Di samping itu, Muslimat PAS sangat mendukung usaha untuk menyelamatkan rakyat yang tertindas melalui pelbagai cara dan kami juga konsisten memperjuangkan hak semua wanita dengan adil dan saksama tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
9 Mac 2019 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1440 - H
Loading...