Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Suburkah demokrasi pilihan

Loading...

DI Malaysia, pilihan raya sebagai sebuah institusi diimport dan diperkenal penjajah British. Untuk itu, pemerintah ‘British Local’ telah menggubal dan memperkenal Government Election Ordinance 1950 yang menjadi peraturan untuk mengorganisasi pilihan raya majlis tempatan. Selepas itu, Local Government Ordinance 1952 pula digubal untuk membolehkan penduduk tempatan menubuhkan majlis tempatan masing-masing.

Pada 1952, iaitu dari Februari ke Disember, pilihan raya majlis tempatan bandar utama di Malaya berlangsung di Kuala Lumpur, Georgetown, Melaka, dan Johor Bahru, serta di beberapa majlis tempatan kecil yang lain.

Pada 27 Julai 1955, berlangsung pilihan raya umum (PRU) pertama di seluruh Malaya, dua tahun sebelum merdeka, iaitu pada 1957. Pilihan raya ini memilih ahli Majlis Perundangan Persekutuan, Tanah Melayu, atau Malaya.

Kawalan sosial

Pada 1959, PRU pertama selepas merdeka di Malaya berlangsung. Pada 1964, selepas penubuhan Malaysia pada 1963, PRU Malaysia yang pertama diadakan. Pada PRU kedua Malaysia, Mei 1969, berlaku konflik etnik dan pertumpahan darah yang dikenal sebagai Tragedi 13 Mei 1969. Semenjak itu, setiap lima tahun, pilihan raya umum berlangsung dan terakhir, PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

Mengapa pilihan raya diperkenal oleh British di Malaya dan terus kekal sebagai tunjang utama pimpinan demokrasi berparlimen di Malaysia? Pilihan raya diperkenalkan bukan untuk tujuan mengasaskan demokrasi tetapi sebagai alat kawalan sosial di Malaya selepas Perang Dunia Kedua.

Pertumpahan darah dalam perjuangan antara gerakan nasionalisme dengan kuasa kolonial menjadi-jadi dan mengorban sekian banyak nyawa dan harta benda di Indonesia, Vietnam dan Filipina. Harta kekayaan penjajah dirampas dan dinasionalisasikan sehingga menyebabkan kerugian kepada penjajah. Dalam kata lain, Malaya di bawah pemerintahan British, ketika itu dikelilingi suatu anti-kolonial ‘political ring of fire’ di seluruh Asia Tenggara.

Di Malaya sendiri selepas Perang Dunia Kedua tamat pada 1945, berlaku suatu rusuhan kaum, penentangan terhadap projek Malayan Union dan Darurat dikenalkan pada Jun 1948.

Justeru, dengan bermulanya Perang Dingin (bermula pada 1948 dan tamat pada 1989), British tidak ada pilihan dan memperkenalkan beberapa langkah ‘aman’ untuk mengawal keadaan politik dalaman yang bergolak, sekali gus melindungi harta kekayaannya yang cukup banyak.

Malayan Union 1946 dimansuhkan dan diganti dengan Federation of Malaya Agreement 1948. Pada Januari 1949 ditubuhkan Communities Liaison Committee (CLC) yang mengandungi sekumpulan pimpinan elit etnik Melayu, Cina dan India daripada pertubuhan awam masing-masing dan berunding mencari tapak integrasi melalui proses tawar menawar, perundingan dan pengantaraan. CLC pencetus model politik penyatuan di Malaysia.

Parti politik mula diizin untuk diasas dan diperkenalkan oleh British. Parti itu kebanyakan tertubuh daripada persatuan awam atau pertubuhan sukarela, bukan pada asasnya badan politik berteraskan ideologi, seperti Parti Komunis Malaya.

Contoh terbaik ialah Malayan Chinese Association (MCA). Parti ini asalnya sebuah pertubuhan awam bernama Lottery and Funeral Association, yang bersifat pertubuhan kebajikan.

United Malays National Organization (UMNO) sendiri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan pernah terkenal dengan singkatannya PEKEMBAR. Tetapi, hingga kini semua lebih selesa memanggil parti ini dalam ringkasan Inggerisnya, iaitu, UMNO. Ironisnya UMNO sendiri memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pengundi buta huruf

Ketika awal 1950-an, ketika pilihan raya diperkenalkan, kadar buta huruf di Malaya sangat tinggi, sekitar 65 peratus. Pengundi tidak tahu membaca dan menulis. Pengundi hanya kenal simbol kapal layar Parti Perikatan. Apabila simbol ini ditukar kepada gambar dacing dengan tertubuhnya Barisan Nasional (BN), kekeliruan terjadi khususnya dalam kalangan pengundi yang buta huruf dalam PRU Ke-4 pada 1974.

Mereka tertanya-tanya “mana kapal layar?”. Ini bermakna sebahagian besar pengundi dalam pilihan raya umum di Malaysia sehingga 1974 membuat keputusan mengundi tidak berasaskan prinsip demokrasi. Malah, mereka tidak tahu pun kerana tidak mampu membaca sebarang dokumen mengenai demokrasi.

Rata-rata ketika pemerintah British memperkenalkan sistem pilihan raya yang bermula pada 1952 dan kemudian diteruskan oleh Kerajaan Malaya/Malaysia selepas merdeka tanpa berasaskan prinsip demokrasi. Ia hanyalah berdasarkan prinsip konsensus pengundi yang sebahagiannya buta huruf.

Tambahan pula, dalam sejarah kolonialisme antarabangsa, tiada satu pun kuasa penjajah yang menganjurkan prinsip demokrasi dalam pemerintahannya dan menggalakkan gerakan nasionalisme di tanah jajahan masing-masing. Pilihan raya hanya sebagai alat kawalan sosial melalui proses penyelesaian menggunakan peti undi. Tidak lebih dari itu.

Malaysia berpengalaman melaksanakan 14 kali PRU dan ratusan pilihan kecil sejak kemerdekaan. Dalam tempoh ini, kadar celik huruf dan literasi politik dalam kalangan rakyat Malaysia bertambah baik, kesan pendidikan yang diterima, selain faktor persekitaran dan global.

Persoalannya, apakah pengalaman dan perkembangan ini cukup membuktikan amalan demokrasi di negara bertambah maju? Apakah bentuk dan ruang penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan bagi memaknakan lagi pilihan raya dalam konteks demokrasi di Malaysia?

Persoalan ini menjadi sebahagian tumpuan perbincangan dalam wacana bertajuk ‘Reformasi Pilihan Raya: Impak Terhadap Demokrasi di Malaysia’ 9.30 pagi esok, di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Oleh Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin / Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain / Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Loading...
Back To Top