Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Isu royalti: Kerajaan PAS PERLU BERADAB, kata Raja Bahrin

Loading...
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu perlu menggunakan pendekatan lebih beradab jika berhajat menjalin kerjasama dan meminta sesuatu daripada kerajaan pusat, kata Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.
Beliau berkata ini penting supaya tiada pihak dicerca dan mewujudkan suasana lebih harmoni.
Beliau berkata demikian ekoran terkilan dengan kenyataan dan sikap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berhubung bayaran royalti minyak Terengganu seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar hari ini.
“Ahmad Amzad dilaporkan berkata Malaysia tidak perlu melantik wakil ‘ala residen British’ pada era penjajahan Inggeris atau orang tengah yang bertindak ‘ala broker’ bagi menguruskan wang royalti petroleum milik Terengganu.
“Kenyataan tersebut agak tidak sopan serta kasar dan bersikap buruk sangka terhadap kerajaan persekutuan yang belum pun sempat membentuk Kabinet penuhnya. Dasar pemberian royalti itu pun belum ditetapkan lagi.
“Adakah perlu kata-kata kasar menyamakan kerajaan pusat dengan penjajah kafir dan tuduhan broker, sopan di bulan Ramadan yang mulia ini berasaskan sangkaan semata-mata? Sedangkan menjaga kata-kata dan akhlak adalah penting dalam Islam terutamanya di bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akhbar hari ini menyiarkan kenyataan Ahmad Amzad yang berharap kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan tidak mengulangi kesilapan Barisan Nasional seterusnya dapat menghormati Perjanjian Pembangunan Petroleum 1975 dengan mengembalikan bayaran royalti pada kadar sepatutnya kepada Terengganu.
Ahmad Amzad mahu kerajaan baru di persekutuan lebih adil dan saksama dalam soal mengembalikan hak kepada rakyat Terengganu dan menegaskan sebarang pembentukan medium ketiga bagi menerima wang royalti berkenaan tanpa persetujuan kerajaan Terengganu adalah tidak sah dan melanggar perjanjian itu
Raja Kamarul Bahrin berkata Pakatan Harapan Terengganu berharap akan wujud hubungan baik antara kerajaan PAS Terengganu dengan kerajaan pusat untuk memudahkan komunikasi kedua-dua pihak.
“Belum lagi mengadakan perjumpaan tapi sudah melontar tuduhan kesat. Perlu diingat pilihan raya sudah berlalu dan kita perlu kurangkan persengketaan dan sekarang kita perlu beri tumpuan kepada kebajikan dan pembelaan rakyat pula. Inilah sikap bertanggungjawab.
“Ini adalah untuk kebaikan rakyat umum dan menepati pendekatan Rahmatan Lil Alamin, iaitu rahmat untuk semua. Semua rakyat tidak kira fahaman politik secara inklusif, perlu pembelaan dan kebajikan mereka mesti dijaga sebaik baiknya,” katanya. - FMT
Loading...
Back To Top