Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Tembak Koperal Dalam Balai Polis USJ

Loading...
Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang ditemui mati di Balai Polis Pinggiran USJ di sini, awal pagi tadi, dipercayai ditembak dari jarak dekat di badannya.Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata mangsa turut mempunyai kesan tetakan di belakang kepalanya.
Katanya, kejadian disedari anggota Unit Peronda (MPV) yang pulang semula ke balai berkenaan selepas menjalankan rondaan.

“Kira-kira jam 3.25 pagi tadi, anggota MPV yang tiba di Balai Polis Pinggiran USJ untuk kembali ke balai mendapati keadaan di balai gelap.

“Apabila anggota terbabit ke Bahagian Pertanyaan di dalam balai, beliau ternampak anggota bertugas dalam keadaan tertiarap dan sebaik lampu dinyalakan, kepala mangsa dilihat berdarah dan luka.

“Pada masa sama, ada kesan tembakan di bahagian tengah belakang badan mangsa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, pagi ini.

Menurut siasatan awal, Mazlan berkata, ada saksi berada di kawasan berdekatan mendakwa terdengar bunyi letupan kira-kira jam 2.40 pagi tadi, namun menyangka ia adalah bunyi mercun berikutan sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

Berikutan itu, katanya, kejadian tidak dilaporkan lebih awal.

Mazlan berkata, pistol mangsa didapati hilang dan dipercayai dilarikan penjenayah.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota terbabit ditembak dari jarak dekat dengan senjata api sendiri.

Mazlan berkata, kejadian berlaku selepas lawatan pegawai ke balai berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 29 tahun dan berasal dari Sarawak, sudah berkhidmat selama tujuh tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, anggota terbabit sudah beristeri dan tidak mempunyai anak.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tidak ada unsur lain dan kejadian itu menjurus kepada tindakan mencederakan anggota polis yang sedang bertugas.

Katanya, anggota itu tidak mempunyai masalah peribadi atau keluarga, selain tidak menolak kemungkinan kejadian dilakukan lebih daripada seorang penjenayah.

“Penjenayah itu sedang diburu. Kita mencari pemilik premis berdekatan sekiranya mereka ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk melihat rakaman yang boleh membantu siasatan.

“Kami juga menyeru kepada masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat sekiranya ada bagi membantu siasatan,” katanya.- BH
Loading...
Back To Top