Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Ramalan Perak kalah PRU ke14 hanya `agak-agak' saja

Loading...
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap kaji selidik bahawa BN akan tewas di Perak pada PRUke 14  tidak lebih kepada hanya `agak-agak’ sahaja.

Baru-baru ini, think-tank kerajaan Selangor Institut Darul Ehsan (IDE) meramalkan Perak antara lima buah negeri yang dipimpin kerajaan BN akan tewas pada PRU14 jika PAS bergabung dengan Pakatan Harapan.

Kumpulan pemikir pro Datuk Seri Azmin Ali itu mengumumkan kajian tersebut sehari sebelum Majlis Presiden Paatan Harapan menolak cadangan PKR mahu berunding kerusi dengan PAS.

Tidak gentar dengan hasil kajian politik itu, kata Zambry sesiapapun boleh membuat kajian dan analisis namun kesimpulan tidak boleh dilakukan berdasarkan satu kajian sahaja.

``Dekat nak pilihanraya ni macam-macam kajian kita dengar, jadi ada yang mengatakan itu, ada yang mengatakan ini, macam dulu sebelum tahun 2013 pun begitu juga jadi saya tidak mahu memfokuskan kajian Institut Darul Ehsan ke, Institut Darul Ridzuan ke, darul Penang ke, apa semua tapi biasalah dekat dekat pilihan raya ni semua pihak akan membuat  kajian mereka dan juga akan membuat kesimpulan-kesimpulan mereka berdasarkan kepada kajian kajian mereka.

``Kita tahu bahawa kajian ini adalah satu kaedah dia bukanlah dia pergi tanya setiap orang, sayapun tidaklah nak membesar diri sebab sayapun sebagai ahli akademik juga jadi kita tahu lah bagaimana analisa-analisa yang baik mana analisa yang tak baik, tapi apapun saya anggap siapapun boleh membuat analisa.

``Saya ingin melihat perkara itu secara objektif, kalau mereka mengatakan demikian saya nak tengok aspek mana mungkin saya boleh perbetulkan dari aspek itu jadi saya tak mahu nak mengambil sikap seperti orang tak betul dan sebagainya.

`Tak apalah semua orang boleh buat, sayapun ada kajian saya jadi tidaklah saya sebegitu naïf sekali ya, saya tidaklah naif seolah –olah saya tak tahu apa yang berlaku.


``Kadangkadang kita merasakan bahawa kajian kita yang terbaik macamlah pilihan raya di Amerika baru ni, bila kita rasa semua kajian menunjukkan hampir kebanyakan walaupun bukan semua seolah-olah mengatakan bahawa keputusan pilihanraya di Amerika tu  yang akan menang ialah Hilary Clinton, tapi yang berlaku sebaliknya.

``Sebab itu saya tak berhajat mengutuk, saya tak berhajat mengutuk kajian ini mereka boleh buat siapapun boleh buat tapi janganlah membuat kesimpulan sebab kajian ni ada pelbagai kaedah,”ujarnya.

Sementara itu, pemimpin kanan UMNO Perak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kaji selidik itu tidak boleh dipakai kerana IDE hanya menemuduga segelintir rakyat Malaysia dan tidak cukup  untuk mengambarkan perasaan dan sikap pengundi.

``Kaji selidik ini kita tak boleh pakai kerana dia (IDE) menemuduga beberapa orang rakyat Malaysia, rakyat Malaysia 30 juta yang mengundi saya ingat lebih daripada 10 juta, jadi kalau setakat kajian kepada 1,000 ke 2,000 orang tak cukup untuk mengambarkan perasaan dan sikap pengundi.

``Jadi dengan sebab itu saya rasa kajian ini satu kajian yang akademik yang kita tak boleh pakai,’’ katanya.

Datuk Seri Tajuddin berkata demikian kepada pemberita di majlis sambutan diambang Merdeka 2017 Parlimen Pasir Salak di Arena Square Chenderong Balai malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, pada pengamatannya sokongan daripada pengundi terhadap kerajaan BN masih kuat dan mantap.

Katanya, parti-parti pembangkang sekarang  sudah tidak menunjukkan bahawa mereka dapat  meraih sokongan rakayt malah berkurangan daripada pilihan raya di masa lalu.

``Ini kerana kita melihat pembangkang  sudah berpecah, dahulu  kekuatan pembangkang sedikit sebanyak yang mereka perolehi itu adalah hasil daripada kesepakatan PAS dengan PKR dan DAP, tapi hari ini PAS tidak lagi bersama mereka .’’ katanya.

Selain itu kata Tajuddin,  beliau  dapati di kampung-kampung dan di lapangan program parti-parti pembangkang tidak begitu rancak seperti dahulu lagi kerana tidak ada program yang nampak nyata menunjukkan kekuatan mereka  kerana tak ada program seperti dulu.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi IDE Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata negeri yang akan dirampas pembangkang dalam pilihanraya umum ke 14 adalah Perak, Kedah, Pahang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Ini berdasarkan kaji selidik yang dibuat pihaknya dengan tajuk ‘Jika Pilihan Raya 6 bulan dari sekarang parti apa yang anda akan undi?’ dengan menemuduga lebih 4000 pengundi.
Loading...
Back To Top