Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

LAYAKKAH PAKATAN HARAPAN DIBANDINGKAN DENGAN BARISAN NASIONAL?

Loading...
“SEMUA parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukannya pilihan raya berdasarkan persepsi, sebaliknya perlu berpandukan informasi”. Berikut merupakan peringatan yang disampaikan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Rata – rata pengundi sudah sedia maklum bahawa pertarungan BN pada PRU kali ini amat sengit, lebih – lebih lagi ramai ‘penderhaka’ parti itu seolah – olah lupa dengan prinsip perjuangan yang didukung selama ini, lantas berpaling tadah untuk berpihak kepada pihak lawan, dan pastinya pelbagai persepsi tidak enak terutamanya di bawa bersama – sama.

Apa yang cuba disampaikan di sini adalah, puak pembangkang khususnya mereka yang berada di bawah panji Pakatan Harapan (PH), berlumba – lumba berusaha ‘memomokkan’ rakyat hingga ada sesetengahnya menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kerajaan, meskipun hakikat sebenar jelas bercanggah sama sekali.

Tidak perlu disoal kenapa dan apa puncanya, kerana jika dilihat, ditilik kembali sejarah penubuhan Pakatan Harapan ini, yang sudah ditukar nama berulang kali dengan sejarah penubuhan BN mahupun UMNO, jelas tertera blok pembangkang utama ini baru ‘setahun jagung’, manakala pertukaran nama gabungan yang silih berganti itu bukti ketidaksefahaman masing – masing. Mudah bukan?

Pakatan Harapan, atau nama ‘syok sendiri’ mereka, Harapan ini merupakan pergabungan tidak rasmi puak pembangkang yang dibarisi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan ahli terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang motif asal penubuhannya adalah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, yakni kerajaan BN.

Bukan itu sahaja, malah ada juga di antara mereka yang menyertai gagasan pembangkang atas sebab – sebab peribadi. Tidak perlu rasanya untuk diberitahu siapa dan kenapa, kerana perkara ini terlalu jelas, apatah lagi buat mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air.

Sedangkan kerajaan BN ditubuhkan dengan asas yang kukuh termasuk bagi menjamin kesejahteraan serta kestabilan perhubungan kaum di Malaysia, malah sudah memerintah negara dari tahun 1973 lagi, tanpa ada sebarang permalahan, malah ekonomi semakin mampan di bawah pemerintahan kerajaan BN, ini turut diakui oleh pelbagai badan berkenaan dalam dan luar negara.

Apa yang cuba diperjuangkan oleh Pakatan Harapan? Rakyat atau perjuangan bersifat peribadi? Jika benar apa yang dibuat oleh mereka selama ini demi rakyat, maka tiada istilah mengajak rakyat untuk sama – sama turun ke jalanan bagi menyertai demo dan tunjuk perasaan yang pastinya menyusahkan hidup rakyat!

Berbeza dengan BN yang bersungguh mahu memperbaiki hidup rakyat dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutama sekali Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang pastinya dinanti saban tahun.

Kerajaan BN membawa ideologi yang jelas dan mampu di terima oleh segenap lapisan masyarakat, yakni menjadikan rakyat sebagai subjek utama di samping mengutamakan pencapaian yang mampu diraih negara dalam pelbagai sektor, berbeza sama sekali dengan Pakatan Harapan yang sebilangan besar ‘otai dan boss besar’ mereka punya agenda sendiri.

Tun Dr Mahathir Mohamad masih dengan rancangannya mahu menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula sanggup menjadi Perdana Menteri interim bagi memberi ruang kepada suami tercintanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan berkenaan setelah selesai menjalani hukuman penjara gara – gara meliwat pembantu sendiri.

Namun, apa yang lebih utama adalah DAP. DAP tidak pernah menafikan bahawa sekiranya mereka berkuasa, maka mereka akan menghapuskan keistimewaan Bumiputera yang secara jelas membawa maksud kesaksamaan etnik. Justeru, apakah ertinya? Penasihatnya, Lim Kit Siang pernah berkata bahawa slogan ‘Malaysian Malaysia’ tidak berbahaya kerana ia hanya untuk memansuhkan perbezaan Bumiputera dan bukan Bumiputera sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Percayakah rakyat dengan puak ini? Berapa banyak janji mereka yang telah diputar belit? Lihat apa yang terjadi dengan nasib rakyat Melayu di Pulau Pinang? Hak mereka dinafikan. Maka, Pakatan Harapan ini hanya sekadar mengaburi mata rakyat, sedangkan yang mengawal semuanya dari belakang tabir adalah DAP!

Akhir sekali, apa yang berlaku dalam Pakatan Harapan adalah masing – masing sibuk mempergunakan masing – masing demi kepentingan masing – masing. Sukar untuk difahami? Baiklah, bahasa mudahnya begini, Tun Dr Mahathir secara jelas menggunakan DAP untuk mendapatkan pengaruh untuk dirinya.

Beliau sedar bahawa beliau sudah semakin hilang taring selepas berpaling tadah dan menentang pentadbiran Perdana Menteri, makanya beliau menggunakan pengaruh DAP untuk terus berkuasa, manakala DAP pula menggunakan Tun Dr Mahathir bagi meraih sokongan dan undi rakyat Melayu.

Sedangkan, Kerajaan BN pula mengajak semua kepimpinan dan ahli akar umbi untuk bersikap ‘walaa’ kepada ketua, bukannya mempergunakan mereka demi kepentingan peribadi masing – masing.

Jelas bahawa ‘geng – geng’ pembangkang ini penuh dengan muslihat dan layakkah mereka ini berdiri setanding dengan pemimpin – pemimpin BN, apatah lagi parti setahun jagung Pakatan Harapan itu mahu dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional? Jawapannya, TIDAK sama sekali!
Loading...
Back To Top